fb fb fb fb fb

Halang bantuan ke Gaza boleh jadi satu jenayah - Pendakwa ICC

Foto AFP

KAHERAH, 30 Oktober - Ketua pendakwa, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memberi amaran pada Ahad bahawa menyekat bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza boleh menjadi satu jenayah.

"Menghalang bekalan bantuan seperti yang diperuntukkan oleh Konvensyen Geneva mungkin merupakan satu jenayah dalam bidang kuasa mahkamah," kata Karim Khan kepada pemberita di Kaherah.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke persimpangan Rafah, Mesir, di mana beliau berkata trak yang penuh dengan barangan yang sangat diperlukan masih tersekat dan tidak dapat menyeberang ke Gaza.

“Saya melihat trak penuh dengan barangan, penuh dengan bantuan kemanusiaan tersangkut di tempat tiada sesiapa memerlukannya, tersangkut di Mesir, tersangkut di Rafah,” katanya.

"Bekalan ini mesti sampai kepada penduduk awam Gaza tanpa berlengah-lengah."

Rafah adalah satu-satunya pintu masuk di mana bantuan antarabangsa pada masa ini boleh mengalir ke wilayah Palestin yang dikendalikan Hamas, yang menghadapi pengepungan hampir keseluruhan dan pengeboman Israel yang tidak henti-henti.

Sejak penghantaran bantuan terhad disambung semula melalui lintasan Rafah pada 21 Oktober, sebanyak 117 trak telah masuk.

Sebelum pengepungan itu, kira-kira 500 trak yang membawa bantuan dan barangan lain memasuki Gaza setiap hari.

Khan berkata beliau mahu "menjelaskan kepada Israel bahawa mesti ada usaha yang dapat dilihat tanpa berlengah lagi untuk memastikan orang awam (di Gaza) menerima makanan asas, ubat-ubatan."

Khan berkata pejabatnya menjalankan siasatan berterusan ke atas "sebarang jenayah yang dilakukan di wilayah Palestin dan sebarang jenayah yang dilakukan, sama ada oleh Israel dan Palestin atau sama ada ia tindakan yang dilakukan di wilayah Palestin atau dari Palestin ke Israel."

"Ini termasuk kejadian semasa di Gaza dan juga peristiwa semasa di Tebing Barat," kata Khan.

Khan juga menegaskan bahawa pengambilan tebusan merupakan pelanggaran Konvensyen Geneva.

“Saya menyeru agar semua tebusan yang diambil dari Israel dibebaskan serta-merta dan agar mereka kembali dengan selamat kepada keluarga mereka,” katanya.

Peguam Britain itu berkata "Israel mempunyai kewajipan yang jelas berhubung perangnya dengan Hamas, bukan hanya kewajipan moral tetapi kewajipan undang-undang" untuk mematuhi undang-undang konflik.

"Prinsip-prinsip ini sama terpakai kepada Hamas berhubung dengan menembak roket sembarangan ke Israel," katanya.

Ditubuhkan pada tahun 2002, ICC ialah satu-satunya tribunal bebas global yang menyiasat jenayah paling teruk di dunia termasuk pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN