TOKYO, 30 Oktober — Amerika Syarikat (AS) buat pertama kalinya mula membeli makanan laut Jepun untuk membekalkan tenteranya di sana, sebagai tindak balas terhadap larangan China ke atas produk sedemikian yang dikenakan selepas Tokyo mengeluarkan air terawat dari loji nuklear Fukushimanya yang dihentikan ke laut.
Duta AS ke Jepun, Rahm Emanuel berkata Washington juga harus melihat secara lebih meluas bagaimana ia boleh membantu mengimbangi larangan China yang katanya adalah sebahagian daripada "perang ekonomi".
China, yang pernah menjadi pembeli terbesar makanan laut Jepun berkata larangannya adalah disebabkan kebimbangan keselamatan makanan.
Badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menjamin keselamatan pelepasan air yang bermula pada Ogos dari loji yang musnah akibat tsunami 2011.
Menteri perdagangan G7 pada Ahad menggesa pemansuhan segera larangan ke atas makanan Jepun.
"Ia akan menjadi kontrak jangka panjang antara angkatan tentera AS dan perikanan dan koperasi di Jepun," kata Emanuel.
"Cara terbaik yang kami telah buktikan dalam semua keadaan untuk melenyapkan paksaan ekonomi China adalah dengan membantu negara atau industri yang disasarkan," katanya.
Pembelian pertama hanya melibatkan satu tan metrik kerang, sebahagian kecil daripada lebih 100,000 tan kerang yang Jepun eksport ke tanah besar China tahun lepas.-REUTERS