fb fb fb fb fb

Lebih 30,000 dipindahkan dari sempadan Ukraine

Foto REUTERS

MOSCOW, 14 Oktober - Kira-kira 30,415 orang termasuk hampir 8,000 kanak-kanak telah dipindahkan dari kawasan berhampiran sempadan Ukraine ekoran serangan dan insiden berbalas tembakan.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Rusia, Tatyana Moskalkova berkata penduduk yang dipindahkan telah ditempatkan di hampir 1,000 pusat penempatan sementara di seluruh Rusia.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama akhbar Argumenty I Fakty.

Ukraine yang berdepan pencerobohan tentera Rusia sejak Februari 2022 bertindak balas dengan membedil dan menyerang wilayah di sempadan Rusia.

Tentera Ukraine mendakwa serangan menyasarkan infrastruktur penting kepada usaha perang Moscow.

Pada Ogos lalu, tentera Ukraine melancarkan serangan ke atas wilayah Kursk, menguasai berpuluh-puluh penempatan dan kekal di kebanyakan kedudukan sejak itu.

Moskalkova mengesahkan telah menerima rayuan berhubung lebih 1,000 warga Rusia dari Kursk yang tidak diketahui keberadaan mereka dan dikatakan telah diambil oleh tentera Ukraine.

Beliau juga memaklumkan telah melawat lebih 2,000 tahanan perang Ukraine di Rusia.

Lawatan serupa turut dilakukan oleh rakan sejawatannya dari Ukraine terhadap tahanan Rusia. -REUTERS

Trainee2