fb fb fb fb fb

40 anggota PBB kecam serangan terhadap UNIFIL

Foto REUTERS

NEW YORK, 14 Oktober-40 negara yang menyumbang kepada pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan kelmarin (Ahad) mengutuk sekeras-kerasnya serangan baru-baru ini ke atas pasukan pengaman.

“Tindakan sedemikian mesti dihentikan serta-merta dan harus disiasat dengan sewajarnya,” kata kenyataan bersama itu, yang disiarkan di X oleh misi PBB Poland dan ditandatangani oleh negara termasuk penyumbang utama Indonesia, Itali dan India.

Antara anggota terlibat termasuk Ghana, Nepal, Malaysia, Sepanyol, Perancis dan China. Semua negara yang telah menyumbang beberapa ratus tentera kepada pasukan itu.

Sekurang-kurangnya lima pasukan pengaman telah cedera dalam beberapa hari kebelakangan ini ketika Israel melancarkan pertempurannya menentang pejuang Hizbullah di selatan Lubnan.

Misi pengaman, UNIFIL, telah menuduh tentera Israel sengaja menembak ke arah kedudukannya.

"40 negara yang menyumbang pasukan ini ‘mengulangi sokongan penuh terhadap misi dan aktiviti UNIFIL, yang bertujuan untuk membawa kestabilan dan keamanan berkekalan di Lubnan Selatan serta di Asia Barat,’ kata kenyataan itu.

“Kami menggesa pihak yang terlibat untuk menghormati kehadiran UNIFIL, yang bertanggungjawab untuk menjamin keselamatan dan keamanan anggotanya pada setiap masa,” tambahnya.

UNIFIL, yang melibatkan kira-kira 9,500 tentera daripada 50 warganegara, ditugaskan untuk memantau gencatan senjata yang menamatkan perang 33 hari pada 2006 antara Israel dan Hizbullah.-AFP

Peranan UNIFIL disokong oleh Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 pada tahun itu, yang menetapkan bahawa hanya tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB dibenarkan ditempatkan di selatan Lubnan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD