SEOUL, 31 Disember - Lebih 240,000 gambar dan video pornografi yang dihasilkan serta diedarkan secara haram telah dipadam sepanjang tahun ini di Korea Selatan.
Menurut Pertubuhan anti-jenayah seks digital, sebanyak 243, 855 kandungan haram dipadam bagi tempoh Januari hingga 20 Disember.
The Korea Herald melaporkan, data itu dikumpulkan oleh Pusat Sokongan Mangsa Jenayah Seks Digital yang merupakan sebuah organisasi berkait rapat dengan Kementerian Kesaksamaan Jantina dan Keluarga.
Angka itu dilaporkan meningkat kepada 30,855 daripada kira-kira 213,000 pada tahun lepas.
Jumlah itu membimbangkan apabila ramai menjadi mangsa pornografi internet secara haram.
Pada 2021, kira-kira 169, 000 gambar dan video dimuat naik secara haram dilaporkan berbanding pada 2020 iaitu sejumlah 158,000 kandungan.
Manakala pada tahun 2019 organisasi itu merekodkan sebanyak 95,000 video dan gambar dan 2018 pula sebanyak 28,000 kandungan.
Daripada gambar dan video yang telah dipadam pada tahun ini, kira-kira 52,000 disyaki melibatkan kandungan pornografi kanak-kanak.
Kementerian turut memadam kira-kira 27,000 item yang dimuat naik di laman sesawang haram yang diuruskan oleh entiti asing hasil kerjasama pengendali portal luar negara serta agensi berkaitan.
Melihat wujudnya peningkatan mangsa jenayah seks dalam talian, kementerian itu juga akan meningkatkan jumlah pusat kaunseling serantau secara lebih mendalam dalam perkhidmatan perubatan dan undang-undang bagi membantu mereka yang menjadi mangsa seksual.
Pusat Sokongan Mangsa Jenayah Seksual Digital telah dilancarkan pada 30 April 2018, untuk menawarkan perkhidmatan sokongan yang komprehensif membantu mangsa jenayah seksual dalam talian.
Ini termasuk kaunseling, bantuan untuk memadam video dan foto haram dan pemantauan selepas kandungan tersebut dihapuskan.