SEOUL, 31 Disember - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menutup tahun ini dengan ancaman baharu serangan nuklear ke atas Seoul dan memerintahkan tentera untuk bersiap sedia menghadapi perang yang boleh “meletus pada bila-bila masa” di semenanjung, lapor media kerajaan hari ini.
Kim mengecam Amerika Syarikat (AS) semasa ucapan mesyuarat parti akhir tahun yang menetapkan keputusan dasar ketenteraan, politik dan ekonomi negaranya untuk 2024.
Pada pertemuan itu, Korea Utara mengumumkan rancangan untuk pembangunan ketenteraan selanjutnya pada tahun akan datang, termasuk melancarkan tiga lagi satelit pengintip, membina dron tanpa pemandu dan membangunkan keupayaan peperangan elektronik, serta mengukuhkan pasukan nuklear dan peluru berpandu, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Pyongyang tahun ini berjaya melancarkan satelit peninjau, mengekalkan statusnya sebagai kuasa nuklear dalam perlembagaannya dan menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang paling canggih dalam sistem persenjataannya.
Pada pertemuan yang berakhir pada Sabtu itu, Kim menuduh AS menimbulkan "pelbagai jenis ancaman ketenteraan" dan mengarahkan angkatan bersenjatanya mengekalkan "keupayaan tindak balas perang yang luar biasa", menurut KCNA.
Kim berkata bahawa "perang boleh tercetus pada bila-bila masa di semenanjung Korea kerana tindakan melulu oleh musuh untuk menyerang kita,".
Dalam usaha menghalang Pyongyang, Washington awal bulan ini telah mengerahkan kapal selam berkuasa nuklear di bandar pelabuhan Korea Selatan Busan, dan menerbangkan pesawat pengebom jarak jauhnya dalam latihan dengan Seoul dan Tokyo.
Korea Utara sebelum ini telah menyifatkan penempatan senjata strategik Washington seperti pengebom B-52 dalam latihan bersama di semenanjung Korea sebagai "gerakan provokatif perang nuklear yang disengajakan".
"Kita mesti bertindak balas dengan cepat terhadap kemungkinan krisis nuklear dan terus mempercepatkan persiapan untuk menenangkan seluruh wilayah Korea Selatan dengan menggerakkan semua cara dan kekuatan fizikal, termasuk kuasa nuklear, sekiranya berlaku kecemasan," kata Kim.-AFP