fb fb fb fb fb

Lebih 200 pelancong China diraikan semasa ketibaan di Filipina

FILIPINA, 25 Januari- Lebih 200 pelancong dari China diraikan sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang Manila.

Ketibaan pelancong tersebut disambut Setiausaha Pelancongan, Christina Frasco; Duta Besar China ke Filipina dan pegawai kerajaan dengan persembahan muzik dan cenderahati.

Rata-rata pelancong berkenaan terkejut dengan sambutan itu dan menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat Filipina.

"Saya bercadang untuk pergi ke lokasi terkenal Boracay. Saya tahu bahawa pantai putih di sana, saya pernah ke sana sebelum ini dan saya mahu datang lagi kerana situasi COVID-19 telah reda," kata seorang pelancong China, Shi Huating.

"Ini adalah kunjungan pertama saya ke Filipina.

Saya merasakan keramahan penduduk Filipina sebaik turun dari pesawat," kata seorang lagi pelancong, Wen Peng yang turut membawa anaknya bercuti ke Filipina.

(Pelancong China menerima cenderahati sebaik mereka tiba di Lapangan
Terbang Manila / Foto REUTERS)

Sementara itu, Frasco menyifatkan ketibaan pelancong dari China yang menaiki penerbangan komersial ke negara itu sebagai permulaan yang sangat baik sempena Tahun Baharu Cina.

Pihaknya menjangkakan lebih ramai ramai pelancong dari negara tembok besar itu untuk memeriahkan sektor pelancongan di Filipina.

Sumbangan industri pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Filipina berjumlah 12.7 peratus pada 2019.

Lebih 1.74 juta pelancong China melawat negara Asia Tenggara itu pada 2019, meningkat 38.58 peratus daripada 2018.

Menurut data rasmi, pelancong China membelanjakan lebih 2.3 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) semasa bercuti di negara itu.

Filipina menerima lebih 2.65 juta pelancong asing pada 2022 dan memperoleh pendapatan kira-kira 3.82 bilion dolar AS.

Sasaran negara Asia Tenggara itu untuk 2023 adalah untuk menarik kira-kira 4.8 juta pelawat antarabangsa, dengan pasaran pelancong China kekal dalam senarai keutamaannya.

Awal bulan lalu, perjanjian untuk mempromosikan kerjasama pelancongan antara China dan Filipina telah ditandatangani semasa lawatan ke China oleh Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos.-REUTERS

Media Baharu