fb fb fb fb fb

Zelensky bantah atlet Rusia bertanding pada Olimpik Paris 2024

(Presiden Ukraine Volodymyr Zelensk/AFP)

KIEV, 25 Januari- Atlet Rusia sepatutnya tiada tempat di Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memberitahu rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron pada Selasa bahawa beliau membantah penyertaan atlet Rusia pada temasya itu di Paris.

"Saya secara khusus menekankan bahawa atlet dari Rusia sepatutnya tidak mempunyai tempat di Sukan Olimpik di Paris," tulis Zelensky di Telegram selepas panggilan telefon dengan Macron.

Rusia melancarkan pencerobohannya pada 24 Februari tahun lalu, hanya beberapa hari selepas upacara penutupan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing.

Pada Disember, Zelensky meminta presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach supaya mengenakan larangan kekal terhadap atlet Rusia daripada pertandingan antarabangsa.

Namun, Sidang kemuncak Olimpik pada 9 Disember membuka pintu untuk atlet Rusia dan Belarus kembali bertanding di peringkat antarabangsa walaupun Rusia menceroboh Ukraine.

Para peserta mengundi sebulat suara untuk mempertimbang permintaan badan induk Asia OCA bagi membenarkan atlet dari kedua-dua negara itu menyertai pertandingan anjurannya bawah bendera neutral dan tanpa memainkan lagu kebangsaan.

(Temasya Olimpik 2024 akan berlansung di Paris/AFP)

Kenyataan itu menyebut syarat untuk penyertaan Rusia dan Belarusia termasuk menghormati Piagam Olimpik dan sekatan yang meliputi larangan menggunakan bendera, lagu, warna atau sebarang pengenalan lain Rusia dan Belarus pada acara sukan.

Zelensky bertegas bahawa Ukraine tetap menentang keras pandangan Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS bahawa atlet Rusia dan Belarus boleh bertanding di temasya Paris selagi mereka tidak membawa bendera negara mereka.-AFP

Media Baharu