RAMALLAH, 17 Mac- Israel menahan sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin termasuk wanita, kanak-kanak dan bekas banduan dari Tebing Barat.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Persatuan Banduan Palestin (PPS) serta Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan dalam kenyataan bersama berkata penahanan itu dibuat di Hebron, wilayah Qalqilya, Bethlehem, Jenin, Tulkarm, Ramallah dan Baitulmaqdis.
"Israel melakukan gangguan, ancaman dan serangan berterusan terhadap tahanan serta penduduk Gaza.
"Bukan itu sahaja, mereka turut menggeledah dan merosakkan rumah rakyat Palestin," menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, Israel turut menahan seorang pesakit kanser yang sedang dalam perjalanan dari Gaza menuju ke kota Baitulmaqdis untuk menerima rawatan.
Jumlah tahanan di Gaza sejak konflik Israel-Hamas bermula 7 Oktober lalu kini mencecah 7,630 orang.