NEW YORK, 18 Mac — Ketua agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan keadaan huru-hara yang berlaku di Haiti ketika ini hampir sama seperti filem 'Mad Max' yang menggambarkan masa depan pascaapokaliptik yang ganas dan tidak berlandaskan hukum.
"Haiti berada disituasi yang mengerikan," kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell dalam rancangan bual bicara CBS, Face the Nation.
“Ramai orang di sana mengalami kelaparan dan kekurangan zat makanan yang serius dan kami tidak dapat menyalurkan bantuan yang mencukupi kepada mereka,” dengan kumpulan samseng mengawal sebahagian besar ibu kota, Port-au-Prince, serta jalan utama menuju ke tempat lain.
Situasi itu adalah "paling teruk yang pernah dilihat oleh sesiapa dalam beberapa dekad dan ia hampir seperti adegan di Mad Max. Begitulah rupanya,” kata Russell mengenai filem 1979 itu.
Haiti, yang telah dilanda kemarau, bencana alam dan juga sistem pentadbiran kerajaan yang lemah, telah menyaksikan “kehancuran perkhidmatan asas yang hampir runtuh,” menurut laporan PBB.
Berjuta-juta orang ketika ini sedang menunggu pembentukan pentadbiran baharu untuk mengambil alih kuasa selepas Perdana Menteri, Ariel Henry meletakkan jawatan.
“Hari ini, kontena Unicef, yang mengandungi bekalan penting untuk kesihatan ibu, neonatal dan kanak-kanak, telah dirompak di pelabuhan utama Port-au-Prince,” kata Unicef di X pada Sabtu.
"Insiden ini berlaku pada saat genting apabila kanak-kanak amat memerlukan bekalan tersebut."
Kedaan huru-hara yang berlaku di Haiti telah memaksa kedutaan Amerika Syarikat (AS) memindahkan beberapa kakitanganya.
Haiti berada dalam keadaan yang tidak terkawal selama dua minggu selepas berlakunya pemberontakan oleh kumpulan bersenjata yang telah melakukan serangan ke atas dua penjara untuk membesakan ribuan banduan dalam usaha untuk menjatuhkan Henry.
Sementara itu, misi keselamatan yang diketuai oleh Kenya diteruskan untuk menyokong pasukan polis pulau Caribbean.-AFP