fb fb fb fb fb

Lebih 150,000 penjawat awam AS tinggalkan perkhidmatan kerajaan

Foto REUTERS

WASHINGTON, 1 Oktober - Lebih 150,000 penjawat awam Amerika Syarikat (AS) akan meninggalkan perkhidmatan kerajaan minggu ini selepas menerima skim peletakan jawatan secara sukarela, menjadikan ia sebagai peletakan jawatan terbesar perkhidmatan awam negara itu dalam tempoh hampir 80 tahun.

Langkah tersebut, dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Presiden AS Donald Trump untuk mengurangkan saiz tenaga kerja kerajaan persekutuan.

Tindakan itu turut mencetuskan kebimbangan kesatuan sekerja dan pakar tadbir urus mengenai kehilangan kepakaran institusi dalam sektor penting.

Pegawai di Kementerian Luar, Brian Naranjo, antara yang melepaskan jawatan berkata, keputusan itu sukar, namun beliau beranggapan pentadbiran Trump jelas mahu 'mengosongkan' barisan pegawai kanan.

"Saya mengambil peletakan jawatan secara sukarela pada Mei kerana saya melihat pentadbiran ini mahu menyingkirkan pegawai kanan.

"Peluang akan semakin berkurangan, dan saya tidak nampak hala tuju positif pada masa depan," katanya yang berkhidmat lebih 30 tahun dalam sektor kerajaan termasuk pernah bertugas di Venezuela, Mexico dan Kanada.

Menurut Pejabat Sumber Manusia Persekutuan, ramai kakitangan seperti Naranjo telah meninggalkan agensi masing-masing beberapa bulan lalu dan berada dalam tempoh cuti bergaji bawah skim tersebut.

Pakar dasar dari Brookings Institution, Elaine Kamarck berkata, skim tersebut menyebabkan kehilangan besar pegawai berpengalaman yang akan membawa kesan jangka panjang selain sukar dipulihkan.

"Kerajaan persekutuan sedang mengalami penyusutan kepakaran dalam dua cara. Mereka yang berpendidikan tinggi seperti saintis, jurutera dan pakar nuklear amat sukar diganti.

"Ketiadaan mereka dalam bidang masing-masing memberi kesan langsung terhadap penyelidikan penting seperti usaha mencari penawar penyakit," katanya.

Kekurangan tenaga pakar telah menjejaskan keupayaan banyak agensi melaksanakan tugas dalam sektor penting termasuk bidang ramalan cuaca, keselamatan makanan, program kesihatan dan projek angkasa lepas.

Sementara itu, Michael Linden dari The Washington Center for Equitable Growth, yang pernah berkhidmat di Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) ketika pentadbiran Biden berkata, kesan pengurangan tenaga kerja diperburuk lagi dengan keputusan pentadbiran Trump memperlahankan atau mengubah hala peruntukan dana persekutuan.

Menurut Pejabat Pengurusan Personel, skim peletakan jawatan secara sukarela itu dijangka menjimatkan belanja negara sekitar AS$28 bilion setahun. Namun, Kamarck menegaskan penjimatan itu tidak signifikan terhadap bajet keseluruhan.

"Gaji penjawat awam hanyalah sebahagian kecil daripada belanjawan persekutuan. Malah jika semua kakitangan diberhentikan, ia tidak memberi kesan ketara terhadap defisit, kerana defisit berpunca daripada program hak sosial utama seperti Jaminan Sosial dan Medicare," ujarnya.

Data menunjukkan kerajaan persekutuan membelanjakan AS$359 bilion untuk gaji dan faedah penjawat awam bagi tahun fiskal 2023. Gabungan skim itu dijangka mengurangkan sekitar 300,000 kakitangan menjelang akhir tahun ini — penurunan 12.5 peratus sejak Januari.

Bagaimanapun, Biro Statistik Buruh menjangkakan langkah tersebut tidak memberi kesan ketara terhadap kadar pengangguran negara memandangkan tenaga kerja persekutuan hanya mewakili kurang 1.5 peratus daripada jumlah pekerjaan bergaji di AS.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI