LIMA, 1 Oktober - Kementerian Dalam Negeri Peru mengesahkan suspek yang dipercayai dalang pembunuhan tiga wanita di Argentina telah berjaya diberkas, sekali gus menamatkan operasi pencarian antarabangsa selama empat hari dalam kes yang mengejutkan negara Amerika Selatan itu.
Tony Valverde Victoriano, seorang warga Peru yang dikenali dengan gelaran 'Pequeno J', ditahan di bandar Pucusana, kira-kira 70 kilometer dari Lima, susulan waran tangkap antarabangsa yang dikeluarkan pihak kehakiman Argentina pada Sabtu (27 September), menurut laporan media tempatan.
Suspek yang juga dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah itu dituduh merancang pembunuhan ke atas Brenda del Castillo, 20; Morena Verdi, 20; dan Lara Gutierrez, 15, pada 19 September lalu di wilayah Buenos Aires.
Menteri Keselamatan Wilayah Buenos Aires, Javier Alonso berkata, ketiga-tiga mangsa telah diajak ke sebuah rumah di pinggir Buenos Aires menerusi satu perangkap yang diatur sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
"Mereka dibunuh pada malam kejadian, dan mayat ketiga-tiga mangsa ditemui tertanam di kawasan taman rumah berkenaan," katanya kepada media.
Lebih mengejutkan, penyeksaan terhadap mangsa sebelum dibunuh telah disiarkan secara langsung menerusi media sosial kepada kumpulan tertutup.
"Beginilah nasib sesiapa yang cuba mencuri dadah daripada saya," ujar Alonso memetik kata-kata suspek ketika dalam siaran langsung tersebut.
Menurut kenyataan polis Peru, dalam operasi yang dijalankan berhampiran Lima itu, seorang lagi suspek yang juga orang kanan Valverde, Matias Agustin Ozorio dari Argentina, turut ditahan.- REUTERS