fb fb fb fb fb

Gempa bumi Filipina: 27 maut, ratusan cedera

Keadaan di pesisir pantai Cebu pasca gemba bumi/REUTERS

FILIPINA 1 Oktober - Angka korban gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang menggegarkan pesisir pantai Cebu di sini, malam semalam, terus bertambah.

Setakat pukul 11:00 pagi, jumlahnya mencecah 27 orang.

Bencana alam turut mencederakan ratusan lagi individu, selain merosakkan ratusan bangunan termasuk rumah dan infrastruktur awam.

Tanah runtuh juga berlaku di beberapa kawasan hingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik, sekali gus memaksa penduduk berpindah ke pusat perlindungan untuk keselamatan.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) memaklumkan, gempa bumi berpusat kira-kira 40 kilometer dari barat daya bandar Cebu dengan kedalaman 10 kilometer.

Amaran tsunami dikeluarkan tidak lama selepas kejadian, namun ditarik balik beberapa jam kemudian selepas tiada ancaman besar dikesan.

Pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas, termasuk wilayah Bohol dan Negros Oriental yang turut merasai gegaran kuat.

Menurut Pusat Operasi Bencana Kebangsaan, jumlah korban dijangka meningkat apabila laporan dari kawasan luar bandar diterima.-REUTERS

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR