GAZA, 18 Disember- Sekurang-kurangnya 110 rakyat Palestin terbunuh sejak Ahad lalu dalam serangan Israel di bahagian utara wilayah itu.
Kementerian Kesihatan Gaza dalam kenyataan berkata seramai 50 rakyat Palestin terkorban dalam serangan Israel ke atas rumah kediaman di Jabalia dan menjadikan jumlah kematian di kawasan tersebut meningkat kepada 110 orang.
Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan perkara tersebut.
Sementara itu, Kumpulan Pemerhati Hak asasi Manusia (HRW) mendakwa Israel sengaja menyebabkan orang awam kelaparan di Gaza sebagai sebahagian daripada serangannya di wilayah Palestin.
"Israel menggunakan kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan di Semenanjung Gaza, yang merupakan jenayah perang,” kata kumpulan yang berpangkalan di New York itu dalam satu laporan.
"Pasukan Israel dengan sengaja menghalang penghantaran air, makanan dan bahan api, menghalang bantuan kemanusiaan, memusnahkan kawasan pertanian dan merampas barang yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup mereka," tambah laporan itu.
Setakat ini, kira-kira 19,000 rakyat Palestin terkorban sejak konflik Palestin-Israel pada awal Oktober lalu.-AFP