fb fb fb fb fb

90 penduduk Palestin terkorban di kem pelarian Jabalia

Israel melaksanakan operasi ketenteraan di Gaza/ REUTERS

GAZA, 18 Disember- Tentera Israel terus melancarkan serangan maut ke Gaza, membedil kem pelarian di bahagian utara dan sebuah hospital di selatan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan rejim zionis membunuh 90 penduduk yang berlindung di kem pelarian Jabalia, Gaza.

Turut terkorban, seorang remaja perempuan yang sebelum ini kehilangan kaki kiri.

Menurut radio Al-Aqsa, serangan peluru berpandu Israel yang menyasarkan rumah kediaman milik keluarga jurucakap salah sebuah kumpulan pejuang, Dawoud Shehab mengorbankan 24 nyawa, termasuk anak lelaki beliau.

Seorang doktor berkata berpuluh-puluh orang telah terkorban dan mengalami kecederaan di rumah keluarga Shehab dan bangunan berdekatan.

“Kami percaya jumlah orang mati di bawah runtuhan adalah besar, namun tiada cara untuk mengeluarkan mangsa dan memulihkan mereka kerana tembakan Israel,” katanya menerusi panggilan telefon.

Sementara itu, di bandar Deir al-Balah, seramai 12 orang rakyat Palestin terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera.

Selain itu, di Rafah, sekurang-kurangnya empat orang terkorban dalam serangan udara rejim zionis yang menyasarkan sebuah rumah kediaman.

Dalam pada itu, orang ramai bergegas untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan. "Bunyi letupan itu sekuat gempa bumi", kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Mahmoud Jarbou yang tinggal berdekatan, memberitahu Reuters.

Penduduk juga melaporkan mendengar pesawat dan kereta kebal Israel mengebom dan membedil kawasan di selatan Gaza, Khan Younis.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza Ashraf Al-Qidra, serangan rejim zionis turut menjejaskan Hospital Nasser di Khan Younis dan mengorbankan nyawa seorang gadis berusia 13 tahun, Dina Abu Mehsen.

Kira-kira 19,000 rakyat Palestin terkorban sejak konflik Palestin-Israel awal Oktober lalu.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN