N'DJAMENA, 31 Mei - Sekurang-kurangnya 100 pelombong emas terbunuh dalam keganasan yang tercetus pada minggu lalu di lombong emas Kouri Bougoudi di utara Chad, kata Menteri Pertahanan Jeneral Daoud Yaya Brahim pada Isnin.
Yaya Brahim berkata, keganasan berlaku pada 23 Mei lalu itu tercetus ekoran "pertikaian antara dua individu" sehingga menyebabkan 40 lagi cedera.
"Insiden tercetus akibat pertengkaran antara dua individu... kemudian ia bertukar menjadi pertempuran yang dahsyat.
“Anggota tentera telah dikerah ke lokasi berkenaan bagi menyuraikan pertelingkahan itu.
"Operasi di tapak perlombongan emas telah digantung, dan semua warga asing dipindahkan ke Libya, manakala rakyat tempatan ditempatkan di Wour oleh pasukan tentera," kata Yaya Brahim.
(Penemuan emas Kouri Bougoudi di utara Chad menarik perhatian puluhan ribu rakyat Chad dan negara jiran/FOTO AFRICA)
Pertempuran yang dahsyat itu berlaku di Pergunungan Tibesti, kira-kira 1,000 kilometer dari ibu negara N'Djamena yang terletak di tengah Sahara.
Penemuan emas di kawasan itu sejak 10 tahun lalu telah menarik perhatian puluhan ribu rakyat Chad, dan pelombong emas dari Libya, Nigeria serta negara jiran lain sehingga menyebabkan ketegangan sering meningkat.
Pertempuran terbaru adalah antara warga Mauritania dan Libya, kata Yaya Brahim.
Imej jasad bergelimpangan atau hangus di lombong emas turut tersebar di media sosial. - AFP