GAZA, 19 Disember - Lebih 1,000 pesakit dilaporkan meninggal dunia semasa menunggu pemindahan perubatan kecemasan dari Gaza yang dilanda perang dalam tempoh setahun setengah yang lalu.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan menerusi platform X, agensi PBB itu dan rakan kongsinya telah memindahkan lebih 10,600 pesakit dari Gaza dengan keadaan kesihatan teruk, termasuk lebih 5,600 kanak-kanak sejak permulaan perang lebih dua tahun lalu.
"Masih ramai pesakit di Gaza menunggu pemindahan bagi menerima rawatan perubatan yang sesuai," tegas beliau.
Merujuk angka daripada kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas, Tedros berkata 1,092 pesakit diketahui meninggal dunia semasa menunggu pemindahan perubatan antara Julai 2024 dan 28 November 2025.
"Angka ini kemungkinan dilaporkan secara kurang tepat," katanya seraya menyeru lebih banyak negara membuka pintu kepada pesakit dari Gaza, serta pemindahan perubatan ke Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dipulihkan.
Sebelum ini, WHO menganggarkan lebih 16,500 pesakit masih memerlukan rawatan di luar Gaza.
Sehingga 1 Disember, lebih 30 negara telah menerima pesakit dari Gaza, tetapi hanya sebilangan kecil, termasuk Mesir dan Emiriah Arab Bersatu, menerima jumlah pesakit yang ramai.