fb fb fb fb fb

Lawrence Wong angkat sumpah PM Singapura yang baharu

Lawrence Wong mengangkat sumpah di Istana, Singapura semalam/AFP

SINGAPURA, 16 Mei- Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu bagi menggantikan Lee Hsien Loong selepas dua dekad beliau mengetuai negara republik berkenaan.

Wong yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, menjadi individu kedua di luar keluarga Hsien Loong mentadbir Singapura selepas beliau ditabalkan di pejabat kerajaan, Istana sejurus selepas pukul 8.00 malam tadi (waktu tempatan).

"Kami akan menerajui (Singapura) dengan cara kami sendiri. Kami akan terus berfikir di luar kotak dan berfikiran jauh ke hadapan," kata pemimpin berusia 51 tahun itu dalam ucapan pertamanya.

Ahli-ahli Kabinet Wong turut mengangkat sumpah termasuk Hsien Loong, 72, yang dilantik ke tugas penasihat kerajaan sebagai menteri senior.

Wong berkata, rakyat Singapura berdepan dunia penuh konflik dan persaingan, dengan isu ketegangan geopolitik, dasar perlindungan serta nasionalisme mungkin berlarutan selama bertahun-tahun.

"Kita perlu berani berdepan realiti ini dan menyesuaikan diri dengan dunia yang lebih kucar-kacir, lebih berisiko dan lebih ganas," ujarnya.

Ahli ekonomi menerima pendidikan di Amerika Syarikat itu dilihat sebagai pemimpin mesra media yang bijak menangani krisis COVID-19 ketika beliau menyelia pasukan petugas pandemik kerajaan sebelum ini.

Wong yang akan kekal sebagai Menteri Kewangan dipilih sebagai pewaris Hsien Loong pada 2022. -AFP

1605 BD PM SINGAPORE ANGKAT SUMPAH 2

Lawrence Wong (kiri) bersalaman dengan Lee Hsien Loong (kanan) semasa upacara angkat sumpah di Istana, Singapura, semalam/AFP

SITI AISHAH MD ISA