BRATISLAVA, 16 Mei- Suspek yang menembak Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico dalam kejadian semalam dikenal pasti sebagai seorang penulis warga emas berusia 71 tahun dari bandar Levice.
Menteri Dalam Negeri, Matus Sutaj Estok mengesahkan perkara itu ketika ditanya pemberita mengenai laporan media yang mendedahkan identiti suspek.
"Ya, saya rasa saya boleh mengesahkan ini," katanya hari ini.
Bagaimanapun, kerajaan Slovakia masih tidak mendedahkan suspek secara rasmi walaupun media-media negara itu telah menyebut butiran terperinci termasuk namanya dalam laporan mereka.
Laporan media turut menyebut suspek merupakan pengasas Kelab Sastera DUHA (Rainbow) dan anggota rasmi Persatuan Penulis Slovak.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tomas Taraba memberitahu pembedahan ke atas Fico berjalan lancar.
"Saya yakin dia akan bertahan. Dia tidak lagi berada dalam situasi yang mengancam nyawa," katanya kepada BBC.
Terdahulu, Fico dilapor kritikal ketika bertarung nyawa di hospital selepas ditembak berkali-kali dalam kejadian yang disebut kerajaan sebagai "serangan politik".
Pakar bedah menghabiskan berjam-jam berjuang untuk menyelamatkan pemimpin berusia 59 tahun itu. -AFP
ARTIKEL BERKAITAN
Robert Fico cedera ditembak
Robert Fico dilaporkan kritikal