JAKARTA, 16 Mei- Gunung Ibu di timur Indonesia memuntahkan abu lima kilometer ke langit semalam, menjadikan ia sebagai salah satu letusan terbesarnya tahun ini.
Tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Namun, imej menunjukkan letusan abu menjulang ke langit di atas gunung berapi terbabit yang terletak di pulau terpencil Halmahera di wilayah Maluku Utara.
"Letusan abu kelabu dan hitam itu dilihat sangat tebal dan condong ke arah barat," menurut Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia dalam satu kenyataan.
Ia memberi amaran kepada penduduk tempatan dan pelancong supaya tidak pergi dalam jarak lima kilometer dari kawah gunung terbabit.
"Jika terdapat abu, penduduk yang melakukan aktiviti luar dicadangkan memakai pelitup mulut dan mata," jelasnya.
Gunung Ibu juga meletus pada Isnin lalu sehingga mengeluarkan abu setinggi lima kilometer di atas puncaknya.
Minggu lalu, pihak berkuasa menaikkan status amaran bahawa Gunung Ibu ke tahap kedua tertinggi.
Gunung Ibu adalah salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia yang meletus lebih daripada 21,000 kali tahun lalu.
Lebih 700,000 orang tinggal di pulau Halmahera setakat 2022, menurut angka rasmi. -AFP