fb fb fb fb fb

Pesawat Indonesia bawa jemaah haji buat pendaratan cemas

Tangkap layar video tular menerusi platform X, @fl360aero

JAKARTA, 16 Mei- Sebuah kapal terbang milik Garuda Indonesia yang membawa kumpulan haji untuk ke Arab Saudi terpaksa melakukan pendaratan cemas susulan kebakaran pada enjinnya.

Penerbangan Garuda-1105 ke Madinah dikendalikan oleh Boeing 747-400 berpatah balik ke lapangan terbang di bandar Makassar pada pukul 5.15 petang semalam (waktu tempatan).

Bagaimanapun, kesemua penumpang selamat tanpa sebarang kecederaan.

"Keputusan berpatah balik dibuat oleh pilot in command selepas terlihat percikan api pada salah satu enjin yang memerlukan pemeriksaan lebih lanjut.

"Terdapat 450 penumpang dan 18 anak kapal dalam penerbangan itu termasuk jemaah haji," kata Irfan Setiaputra, Pengarah Presiden Garuda Indonesia.

Irfan berkata, kesemua penumpang ditempatkan di ruang penginapan sementara menunggu penerbangan gantian pada hari sama.

"Garuda-1105 dihentikan untuk pemeriksaan keselamatan lebih lanjut dan menyeluruh," tambahnya.

Kejadian berkenaan turut tular di media sosial menunjukkan enjin pesawat terbabit terbakar ketika berlepas.

Indonesia mengalami rentetan kemalangan pesawat yang membawa maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2021, sebuah pesawat Sriwijaya Air Boeing secara misteri telah terjunam ke laut Jawa selepas berlepas dari Jakarta dan mengorbankan kesemua 62 orang.

Mac lalu, Kementerian Pengangkutan Indonesia membuka siasatan terhadap syarikat penerbangan tempatan, Batik Air selepas dua juruterbangnya didapati tertidur semasa penerbangan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA