WASHINGTON, 16 Mei- Pengguna media sosial Amerika Syarikat sejak minggu lalu secara 'gerila' memulakan gerakan 'Block Out 2024' ke atas selebritinya yang terus berdiam diri mengenai perang Israel di Gaza.
Gerakan yang turut dikenali sebagai 'Digital Guillotine' itu juga kini semakin menular ke negara-negara lain.
Impaknya, selebriti di seluruh dunia yang menyokong zionis atau 'bisu' atas isu di Gaza kini sedang merasai bahang kemarahan peminat dengan dipulaukan di media sosial dan platform penstriman.
Bintang pop, Taylor Swift, penyanyi rap, Drake serta ramai lagi selebriti lain telah menjadi sasaran kempen tersebut yang bermula di platform TikTok.
Gerakan itu adalah tindak balas terhadap acara fesyen gilang-gemilang dan penuh glamor dinamakan Met Gala yang berlangsung di New York City pada 6 Mei lalu di tengah-tengah penderitaan penduduk Palestin akibat serangan Israel.
Selama berbulan-bulan, aktivis pro-Palestin membanjiri ruangan komen di laman media sosial untuk meminta aktres, penyanyi popular dan selebriti lain supaya bersuara dan mendesak gencatan senjata dilaksanakan di Gaza.
Desakan mereka mencapai kemuncak selepas penganjuran Met Gala 2024 iaitu majlis kutipan derma penuh megah dan malam gala industri fesyen. Ia menampilkan bintang 'kelas A' dunia perfileman, pementasan, sukan dan peragaan.
Pada acara itu, pesohor media sosial, Haley Kalil menyiarkan video di platform TikTok menunjukkan dia mengajuk ungkapan Permaisuri Perancis, mendiang Marie Antoinette: 'Biar mereka makan kek'.
Frasa tersebut melambangkan sikap tidak peduli bangsawan Perancis pada abad ke-18 terhadap golongan miskin yang kelaparan. Netizen mengaitkan kenyataan Kalil sebagai enggan mempedulikan nasib penduduk Palestin dan konflik di Gaza.
Bintang TikTok, ladyfromtheoutside yang memulakan gerakan 'Block Out 2024' kemudian membalas dengan berkata: "Kini, tiba masa untuk kita melaksanakan apa yang saya gelar 'digital gilotin' jika anda mahu."
Ia merujuk kepada pisau gilotin yang digunakan untuk melaksanakan hukuman mati semasa Revolusi Perancis.
"Anda (selebriti) akan hilang tontonan (view) kami, tanda suka (like), komen dan wang kami," tambahnya.
Mesejnya tersebar meluas dan digunakan sebagai seruan untuk gerakan pro-Palestin, manakala petunjuk awal setakat ini menunjukkan kempen boikot itu mula memberikan kesan.
Bintang realiti, Kim Kardashian yang menghadiri Met Gala 2024 telah kehilangan ratusan ribu pengikutnya di laman Instagram sejak beberapa hari lalu, demikian menurut laman analisis, Social Blade.
Swift yang tidak menghadiri Met Gala kerana memberi tumpuan kepada konsert Jelajah Eras turut hilang lebih 200,000 pengikut sejak Khamis lalu.
Sementara itu, seorang profesor di Universiti Essex yang mengkaji bidang aktivisme selebriti, Natasha Lindstaedt berkata, kehilangan peminat itu berlaku dalam tempoh masa singkat dan mungkin tidak akan berpanjangan.
"Kadangkala, kita membuat keputusan berdasarkan emosi terhadap sesuatu isu.
"Sekiranya seseorang selebriti tidak sehaluan dengan pandangan kita, kita enggan lagi mengikuti mereka, namun ia mungkin bertahan hanya untuk seketika," katanya kepada AFP.
Fenomena itu dikenali dalam kalangan ahli akademik sebagai 'slacktivisme' iaitu menggunakan tindakan dalam talian (online) berisiko rendah seperti memuat naik 'meme' atau menyukai hantaran, atau memilih untuk tidak lagi mengikuti bintang kegemaran demi matlamat politik. -AFP