fb fb fb fb fb

Larangan perjalanan dibatalkan, warga UAE dibenar memasuki Lubnan

FOTO AFP

DUBAI, 4 Mei - Warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini dibenarkan untuk memasuki Lubnan dalam beberapa hari lagi, selepas larangan perjalanan yang dikenakan sebelum ini telah ditarik balik.

Pengumuman dibuat selepas Presiden Lubnan, Joseph Aoun, bertemu dengan Presiden UAE, Mohamed bin Zayed, di Abu Dhabi pada Rabu lepas.

Pada 2021, UAE mengenakan larangan perjalanan dan memanggil pulang diplomatnya dari Beirut sebagai tanda solidariti dengan Arab Saudi.

Ini selepas seorang menteri Lubnan mengkritik campur tangan ketenteraan yang diketuai Riyadh di Yaman.

Susulan sekatan itu, warga Lubnan bagaimanapun tidak dilarang untuk memasuki UAE, namun sesetengah daripada mereka menghadapi kesukaran mendapatkan visa.

Pada Mac lalu, Arab Saudi turut menyatakan bahawa ia akan mengkaji semula “halangan-halangan” untuk menyambung semula import dari Lubnan dan menamatkan larangan rakyatnya daripada melawat negara tersebut. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI