LIMA, 5 Mei - Kira-kira 13 pekerja lombong ditemui meninggal dunia di Pataz, utara Peru, selepas dipercayai diculik beberapa hari lalu oleh pelombong haram yang bersekongkol dengan kumpulan jenayah.
Menurut syarikat perlombongan Poderosa, pasukan polis berjaya membawa keluar kesemua mayat selepas operasi mencari kesemua mangsa.
Antara pekerja yang terbunuh adalah kakitangan syarikat kontraktor yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat berkenaan.
Peru merupakan antara pengeluar emas terbesar di Amerika Latin, dan perlombongan menjadi salah satu sektor ekonomi utamanya.
Namun, wilayah Pataz, yang terletak kira-kira 900 kilometer dari ibu negara Lima, kini diisytiharkan darurat akibat peningkatan keganasan berkaitan kegiatan lombong emas haram.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Poderosa telah beberapa kali menjadi sasaran serangan kumpulan bersenjata yang dikaitkan dengan kegiatan perlombongan haram.
Pihak syarikat menyifatkan keadaan keselamatan di Pataz semakin merosot walaupun dikawal pasukan polis.
Peru ketika ini turut berdepan gelombang jenayah ganas dan pemerasan sehingga memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah lain.- AFP