fb fb fb fb fb

Lapangan Terbang Munich ditutup lagi akibat laporan kemunculan dron

Lapangan Terbang Munich ditutup sekali lagi pada Jumaat/REUTERS

MUNICH, 4 Oktober – Kedua-dua landasan di Lapangan Terbang Munich ditutup sekali lagi pada Jumaat malam selepas laporan kemunculan dron, insiden kedua dalam tempoh kurang 24 jam, menurut pihak berkuasa.

“Pengawal trafik udara Jerman menghadkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Munich sebagai langkah berjaga-jaga berikutan laporan tidak disahkan mengenai dron, dan menggantung operasi sehingga diberitahu,” menurut kenyataan di laman web lapangan terbang itu.

Jurucakap polis lapangan terbang mengesahkan kedua-dua landasan ditutup, manakala seorang kapten pesawat ke London yang penerbangannya dibatalkan memaklumkan kepada penumpang bahawa dron dikesan berhampiran laluan berlepas dan pendaratan.

Insiden sama turut berlaku lewat Khamis dan awal pagi Jumaat, menyebabkan puluhan penerbangan terganggu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, operasi penerbangan di Eropah kerap diganggu laporan kehadiran dron, yang menurut beberapa pihak berkuasa berpunca daripada Rusia.

Kremlin bagaimanapun menafikan sebarang pembabitan.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Alexander Dobrindt sebelum itu berjanji akan mempercepatkan penggubalan undang-undang bagi memudahkan polis meminta tentera menembak jatuh dron. - REUTERS

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI