fb fb fb fb fb

Angka korban runtuhan sekolah di Indonesia meningkat kepada 14 orang

Pasukan penyelamat mula menggunakan jentera berat bagi mencari puluhan lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan/AFP

SIDOARJO, 4 Oktober – Angka kematian akibat runtuhan sebuah sekolah berasrama di Indonesia meningkat kepada 14 orang pada Sabtu.

Pasukan penyelamat mula menggunakan jentera berat bagi mencari puluhan lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Bahagian bangunan sekolah beberapa tingkat itu dilaporkan runtuh secara tiba-tiba pada Isnin ketika pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Negara (BNPB), Suharyanto berkata sembilan lagi mayat ditemukan pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan korban setakat ini kepada 14 orang.

“Sehingga hari ini, kami masih mencari 49 individu yang masih hilang,” katanya seperti dipetik stesen penyiaran Kompas TV.

Beliau menambah, jentera berat kini digunakan untuk membersihkan kawasan yang dipercayai menempatkan mangsa tertimbus.

“Selepas mangsa terakhir ditemukan malam tadi, tumpuan kini diberikan kepada kerja pembersihan besar-besaran,” katanya.

Penduduk setempat berkata, runtuhan itu berlaku dengan kuat hingga menyebabkan gegaran dirasai di sekitar kawasan kejiranan.

Siasatan awal mendapati struktur bangunan tersebut mungkin tidak dibina mengikut piawaian, kata pakar.

Operasi menyelamat sebelum ini berdepan kesukaran berikutan getaran di satu kawasan boleh menjejaskan kestabilan runtuhan di kawasan lain.

Usaha menyelamat turut terganggu seketika selepas gempa bumi melanda pada awal pagi Selasa. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI