fb fb fb fb fb

Lapangan Terbang Heathrow dibuka semula selepas kebakaran

Orang ramai kembali menyambung tugas di pencawang elektrik selepas kebakaran di situ menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow. / Foto REUTERS

LONDON, 22 Mac-Lapangan Terbang Heathrow di London menyambung semula operasinya pada Sabtu, sehari selepas ditutup susulan kebakaran pencawang elektrik sekali gus mencetuskan kekacauan perjalanan global.

Industri penerbangan berusaha mengalihkan penumpang dan membetulkan jadual penerbangan yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.

Beberapa penerbangan telah disambung semula pada petang Jumaat, namun penutupan lapangan terbang kelima tersibuk di dunia itu menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas dan terpaksa mencari bilik hotel yang terhad, sementara syarikat penerbangan cuba mengembalikan pesawat dan anak kapal ke pangkalan masing-masing.

Harga hotel di sekitar Heathrow melonjak, dengan laman tempahan dalam talian menawarkan bilik pada kadar £500 pound atau (AS$645), kira-kira lima kali ganda daripada harga biasa.

Pasukan khas telah dikerahkan di seluruh lapangan terbang untuk membantu penumpang yang terjejas, menurut jurucakap Heathrow dalam satu kenyataan e-mel.

"Kami telah menambah ratusan kakitangan tambahan di terminal kami dan menambah penerbangan dalam jadual hari ini bagi membolehkan tambahan 10,000 penumpang melalui lapangan terbang," kata jurucakap itu.

"Ia jelas satu kegagalan perancangan oleh pihak lapangan terbang," kata Willie Walsh, ketua badan penerbangan global IATA, yang juga bekas ketua British Airways dan sudah lama mengkritik kesesakan di Heathrow.

Lapangan terbang itu dijadualkan mengendalikan 1,351 penerbangan pada Jumaat, membawa sehingga 291,000 penumpang, tetapi banyak penerbangan telah dialihkan ke lapangan terbang lain di Britain dan Eropah, sementara penerbangan jarak jauh terpaksa berpatah balik ke destinasi asal mereka.

Ketua Eksekutif Heathrow, Thomas Woldbye, berkata beliau menjangkakan lapangan terbang akan beroperasi sepenuhnya pada hari Sabtu.

Ketika ditanya siapa yang akan menanggung kos gangguan ini, beliau berkata terdapat "prosedur yang telah ditetapkan", sambil menambah bahawa "kami tidak mempunyai liabiliti untuk insiden seperti ini."

Sekatan terhadap penerbangan waktu malam telah ditarik sementara oleh Jabatan Pengangkutan Britain bagi mengurangkan kesesakan, tetapi Ketua Eksekutif British Airways, Sean Doyle, berkata penutupan tersebut akan memberi kesan besar kepada semua penumpang dalam beberapa hari akan datang.

Syarikat penerbangan termasuk JetBlue, American Airlines, Air Canada, Air India, Delta Air Lines, Qantas, United Airlines, British Airways dan Virgin Atlantic telah dialihkan atau terpaksa berpatah balik berikutan penutupan Heathrow, menurut data daripada firma analisis penerbangan Cirium.

Pakar penerbangan berkata gangguan sama kali terakhir berlaku di Eropah semasa letusan gunung berapi di Iceland pada tahun 2010 yang menyebabkan lebih 100,000 penerbangan dibatalkan.


Heathrow dan lapangan terbang utama lain di London pernah mengalami gangguan sebelum ini, termasuk kegagalan sistem pintu automatik dan gangguan sistem kawalan trafik udara, kedua-duanya berlaku pada tahun 2023.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD