LIMA, 22 Mac-Kongres Peru pada Jumaat melakukan pengundian untuk memecat Menteri Dalam Negeri negara itu berikutan kegagalannya menangani peningkatan jenayah selepas pembunuhan seorang penyanyi terkenal.
Ahli parlimen mengundi dengan 79 undian menyokong, 11 menolak, dan 20 berkecuali untuk menyingkirkan Juan Jose Santivanez daripada jawatannya atas "tanggungjawab politik dan ketidakmampuan menangani gelombang ketidakpuasan rakyat".
Pemecatan menteri itu berlaku ketika ketegangan yang semakin memuncak di negara Amerika Selatan itu selepas penyanyi cumbia terkenal, Paul Flores, 39, ditembak mati pada Ahad oleh pembunuh upahan yang menyerang bas jelajahnya selepas satu konsert di luar ibu kota Lima.
Kumpulan muzik Flores, Armonia 10, telah diugut oleh kumpulan penjenayah yang mengancam akan membunuh penyanyi utama sekiranya mereka tidak membayar wang perlindungan.
Undi tidak percaya terhadap menteri dalam negeri itu dibuat sejurus sebelum satu demonstrasi diadakan di sini.
Ratusan orang berarak menuju ke Kongres Peru untuk menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pemerasan dan pembunuhan susulan kematian Flores.
"Hari ini kami berada di sini untuk menyokong perjuangan menentang keganasan, bukan sahaja terhadap pemuzik tetapi juga terhadap semua orang," kata Alan Meriche, seorang peniaga berusia 38 tahun kepada AFP.
"Saya memprotes untuk menuntut keadilan dan meminta tiada lagi kematian. Anak saya dibunuh lapan bulan lalu hanya kerana sebuah telefon bimbit," kata Celinda Armas, 60, kepada AFP.
"Adakah nyawa manusia tiada nilai?", jelasnya.
Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 459 kes pembunuhan berkaitan jenayah direkodkan di Peru, menurut Sistem Maklumat Kematian Kebangsaan.
Angka berkenaan merupakan yang tertinggi dalam tempoh dua dekad.
Isnin lepas, kerajaan telah mengisytiharkan darurat selama sebulan di ibu kota bagi membolehkan tentera dikerahkan untuk membantu pihak polis membanteras jenayah terancang.
Presiden Dina Boluarte mempunyai tempoh 72 jam untuk melantik menteri dalam negeri baharu bagi menggantikan Santivanez.-AFP