fb fb fb fb fb

Empat pendaki hilang di Filipina ditemukan selamat

Para penyelamat sedang membawa keluar para pendaki yang dilaporkan hilang di pergunungan tengah Filipina / Foto AFP

MANILA, 22 Mac-Empat pendaki asing yang dilaporkan hilang selama beberapa hari di kawasan pergunungan tengah Filipina diselamatkan pada Sabtu, menurut pihak berkuasa tempatan.

Kejadian berlaku sehari selepas dua rakan mereka ditemui dalam keadaan selamat.

Kumpulan pendaki itu, yang terdiri daripada warganegara Jerman, Britain, Rusia dan Kanada, telah memulakan pendakian pada Rabu untuk perjalanan yang dijangka mengambil masa empat jam di kawasan wilayah Negros Oriental.

Namun, kawasan tersebut mengalami hujan lebat, menurut pegawai tempatan.

"Penyelamat tentera menemui mereka berhampiran loji hidroelektrik Silab," kata pegawai penyelamat Jose Lawrence Silorio dari perbandaran Amlan, yang terletak berhampiran Taman Negara Tasik Berkembar Balinsasayao di wilayah tersebut.

Polis mengenal pasti mereka sebagai Aldwin Fink, 60, dan Wolfgang Schlenker, 67, dari Jerman; Anton Chernov, 38, dari Rusia; dan Terry De Gunten, 50, dari Kanada.

Menurut penyiasat Leo Gil Villafranca, anggota tentera Filipina menemui pendaki-pendaki itu di kawasan pergunungan yang dipenuhi tumbuhan tebal.

"Mereka memberitahu pihak tentera bahawa mereka tersesat akibat kabus tebal," katanya, sambil menambah bahawa semua pendaki merupakan penduduk di wilayah tersebut.

Keempat-empat mereka ditemui pada pukul 9:44 pagi (Waktu tempatan), menurut pihak berkuasa tempatan.

"Secara keseluruhan, mereka berada dalam keadaan baik, tetapi mengalami luka-luka kecil. Salah seorang daripada mereka berbalut dengan selimut kerana sejuk, namun dia akhirnya mampu berdiri sendiri," kata Silorio.

"Mereka juga memberitahu kami bahawa mereka bertahan dengan memakan tumbuhan yang boleh dimakan," tambahnya.

Silorio menjelaskan bahawa kumpulan itu ditemui kira-kira 10 kilometer (6.2 batu) dari lokasi di mana dua rakan mereka, Torsten Martin Groschupp, 58, dan Alexander Radvanyi, 63, ditemui pada pagi Jumaat.

Menurut pihak polis pada Jumaat, cuaca memainkan peranan dalam kehilangan kumpulan itu kerana laluan di kawasan pergunungan tersebut dikatakan "sukar" dan mereka melakukan pendakian tanpa pemandu arah.

"Ketika itu hujan turun, menyebabkan jarak penglihatan menjadi sifar," kata pegawai polis Valencia, Henry Japay, sambil menambah bahawa kawasan tersebut tidak mempunyai liputan telefon bimbit.

"Terdapat kemungkinan besar mereka berhenti dan mencari perlindungan ketika hujan mula turun," tambahnya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD