fb fb fb fb fb

Lapan polis cedera, 38 ditahan dalam protes di Serbia

Seorang penunjuk perasaan oleh parti pembangkang di depan pintu Dewan Bandar Belgrade/REUTERS

BELGRADE, 25 Disember- Lapan anggota polis cedera dan 38 orang ditahan berikutan protes pembangkang berhubung keputusan pilihan raya, kata polis Serbia pada Isnin.

Beribu-ribu orang berhimpun di Belgrade pada Ahad untuk menuntut pembatalan pilihan raya Parlimen dan tempatan seminggu lalu. Perkara itu disebabkan pemerhati antarabangsa berkata pilihan raya itu adalah tidak adil.

Penunjuk perasaan memecahkan tingkap dan kaca di pintu masuk utama Dewan Bandar Belgrade, sebelum polis menggunakan semburan lada untuk menyuraikan mereka sekitar pukul 10.00 malam waktu tempatan.

Ketua Pentadbiran polis Ivica Ivkovic berkata, dua daripada lapan anggota polis yang cedera mengalami kecederaan serius.

"Kami akan terus berusaha untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman dan kami menjangkakan untuk melihat lebih banyak tangkapan dalam hubungan dengan protes malam tadi," kata Ivkovic dalam satu sidang media.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata, ""terdapat proses dan percubaan oleh kuasa ketiga, termasuk dari luar negara, untuk mencetuskan kekacauan di Belgrade.

"Kami tidak ragu-ragu bahawa kepimpinan republik itu akan memastikan kedaulatan undang-undang terjaga."

Parti pembangkang menuduh polis melakukan kekerasan berlebihan. Beberapa rangkaian media sosial juga menunjukkan anggota polis membelasah lelaki di jalan-jalan berhampiran Dewan Bandar Belgrade.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI