GAZA, 25 Disember- Kira-kira 95 rakyat Palestin terkorban dalam serangan berterusan Israel di kem pelarian al-Maghazi dan al-Bureij di tengah Gaza.
Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, Pengarah Perubatan Hospital Syahid Al-Aqsa, Khalil al-Dakran, berkata hospital itu penuh dengan mangsa yang cedera dan meninggal dunia termasuk di atas lantai, koridor dan khemah.
Beliau berkata, pihak hospital sedaya upaya merawat mangsa yang cedera dan menyelamatkan nyawa mereka dalam keadaan serba kekurangan.
"Ubat dan peralatan perubatan tidak banyak, bilik rawatan rapi penuh dan alat pernafasan tidak lagi mencukupi. Kami memerlukan ubat-ubatan, pasukan perubatan dan hospital lapangan", katanya.
Katanya, penyakit berjangkit mula merebak dalam kalangan rakyat Palestin yang berlindung di hospital.
Dalam pada itu, Israel juga bertindak mengebom kawasan pertanian berhampiran pintu masuk ke bandar al-Zawaida di tengah Gaza dan juga di sekitar sekolah Abu Helou di al-Bureij.
Pesawat perang Israel melancarkan beberapa siri serangan terhadap Kegubernuran Khan Yunis, selatan Gaza.
Seramai 23 orang terbunuh pagi tadi dan berpuluh-puluh yang lain cedera selepas pesawat pejuang pendudukan Israel mengebom dua rumah di kawasan Ma’an, timur Khan Yunis.
Persatuan Bulan Sabit Merah di Gaza melaporkan bahawa terdapat lebih 8,000 laporan mengenai orang hilang di bawah runtuhan di pelbagai kawasan di Gaza.
Sehingga kini, sebanyak 20,424 orang rakyat Palestin dilaporkan terkorban serta lebih 54,000 rakyat Palestin cedera dan lebih 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.