fb fb fb fb fb

Lapan maut dalam runtuhan bangunan di Mesir

(Responden pertama dan penduduk tempatan mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan bangunan di Kaherah/ AFP)

KAHERAH, 18 Julai- Lapan orang termasuk tujuh sekeluarga terbunuh di Kaherah apabila sebuah bangunan kediaman di ibu negara Mesir runtuh, kata pihak pendakwaan awam dan media kerajaan.

Kenyataan daripada pihak pendakwaan awam berkata bangunan di daerah Hadayek al-Qubba di bandar itu "roboh sepenuhnya", telah membunuh lapan orang.

“Pekerja pertahanan awam menarik keluar sembilan orang, antaranya seorang wanita yang cedera, manakala lapan yang lain telah meninggal dunia”, tambah kenyataan itu.

Lima lagi terselamat setelah berjaya meloloskan diri sebelum insiden runtuhan berlaku.

Ia berkata wanita itu dan dua penduduk memberi keterangan bahawa runtuhan itu disebabkan oleh seorang penduduk yang baru-baru ini merobohkan dinding di flat tingkat satunya", walaupun jiran lain memintanya untuk tidak berbuat demikian.

Pihak pendakwaan memerintahkan penahanan pemilik bangunan, kontraktor yang bertanggungjawab bagi kerja-kerja itu dan seorang pekerjanya untuk disoal siasat.


( FOTO AFP)

Akhbar kerajaan Al-Ahram, memetik seorang penduduk di kawasan itu, melaporkan bahawa tujuh sekeluarga telah terbunuh.

Sebilangan besar bangunan di tengah Kaherah bermula pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, dan banyak yang usang atau dalam beberapa kes telah ditinggalkan.

Mesir telah merekodkan beberapa kejadian maut akibat bangunan runtuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia disebabkan ketidakpatuhan terhadap peraturan bangunan dan perancangan bandar. -AFP

Media Baharu