MANILA, 10 Oktober - Dua gempa bumi kuat melanda perairan selatan Filipina pada Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang dan mencetuskan amaran tsunami di beberapa kawasan pesisir.
Gempa pertama berukuran 7.4 magnitud berlaku kira-kira 20 kilometer dari bandar Manay, wilayah Mindanao, sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS). Gempa susulan berukuran 6.7 magnitud menggoncang kawasan sama hampir 10 jam kemudian.
Kedua-dua gegaran itu berlaku hanya 11 hari selepas gempa 6.9 magnitud di Cebu yang meragut 75 nyawa dan mencederakan lebih 1,200 orang.
Tiga pelombong emas maut apabila terowong lombong runtuh di kawasan pergunungan Pantukan, barat Manay. Seorang lagi pelombong berjaya diselamatkan hidup-hidup manakala beberapa yang lain cedera.
Di bandar Mati, seorang terbunuh selepas dinding bangunan roboh, manakala dua lagi meninggal dunia akibat serangan jantung. Seorang maut akibat dihempap serpihan bangunan di Davao City, dan seorang lagi meninggal dunia di Montevista kerana serangan jantung.
Pihak berkuasa Filipina mengeluarkan amaran tsunami dan mengarahkan penduduk di pesisir timur berpindah ke kawasan lebih tinggi. Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik menarik balik amaran tersebut beberapa jam kemudian selepas tiada gelombang besar dikesan.
Saksi di Tagum City melaporkan suasana panik apabila gempa pertama melanda, manakala di beberapa kawasan bekalan elektrik terputus dan orang ramai keluar dari bangunan untuk menyelamatkan diri.
Pihak berkuasa berkata, gegaran itu hanya menyebabkan kerosakan kecil, namun lebih 300 gegaran susulan direkodkan termasuk tanah runtuh dan jambatan retak di Davao Oriental.
Lebih 200 pesakit di Hospital Daerah Manay dipindahkan selepas struktur bangunan retak, dan khemah sementara didirikan di luar bangunan. Sekolah turut digantung dan pekerja bukan kritikal diarahkan pulang awal.
Filipina yang terletak di Lingkaran Api Pasifik sering mengalami gempa bumi dan kejadian kali ini mengingatkan semula tragedi 1976, apabila gempa 8.0 magnitud mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 8,000 orang di negara itu.-AFP