PALAU, 6 Disember- Kapal peronda pengawal pantai terbesar Taiwan terus menyertai latihan menyelamat bersama di Palau pada Jumaat, ketika Presiden Taiwan Lai Ching-te mengukuhkan hubungan di Pasifik.
Palau adalah antara 12 negara yang masih mengiktiraf tuntutan Taiwan sebagai negara, selepas China meyakinkan negara lain untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Taipei demi Beijing.
Lai mengadakan lawatan di Pasifik termasuk dua persinggahan di Amerika Syarikat namun mendapat kritikan dari China. Negara tembok besar itu mendakwa Taiwan sebagai menentang pengiktirafan antarabangsa terhadap pulau itu.
Lai tiba di Palau pada Khamis selepas melawat Guam dan sempat mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat Mike Johnson dan China tidak bersetuju hubungan rasmi antara Taipei dan Washington.
Taiwan menghadapi ancaman berterusan daripada tentera China dan Beijing tidak menolak akan menggunakan kekerasan untuk membawa pulau itu berada bawah kawalannya.
Pada Jumaat, Lai dan rakan sejawatannya di Palau Surangel Whipps Jr menyaksikan latihan menyelamat bersama Yulin (kapal peronda pengawal pantai terbesar Taiwan seberat 4,000 tan) dan dua kapal yang didermakan kepada Palau.
Sebagai sebahagian daripada latihan, beberapa individu dibawa untuk mendapatkan rawatan ke Yulin, yang dilengkapi dengan bilik bedah, mesin X-ray dan peralatan perubatan lain.
Terdahulu, Lai menghadiri perasmian bangunan perkhidmatan kerajaan "sehenti" baharu di Palau yang turut dibiayai Taiwan.
Lai memuji projek pembinaan itu dan menyifatkan ia sebagai "model kerjasama dua hala yang berjaya" dan berkata pakatan Taiwan-Palau adalah "teguh".
Dalam ucapan awam pertamanya di Hawaii, Amerika Syarikat, Lai berkata terdapat keperluan untuk "berjuang bersama untuk mencegah perang" selain memberi amaran "tiada pemenang" daripada konflik yang cuba ditimbulkan.
Dari Palau, Lai akan terbang ke Taipei pada Jumaat sekali gus mengakhiri perjalanannya ke Amerika Syarikat termasuk Kepulauan Marshall dan Tuvalu.- AFP