fb fb fb fb fb

Lagi warga Palestin terbunuh, pencerobohan di Baitulmaqdis

(Kawasan perkampungan Palestin di Ain Samiya, timur Ramallah di tengah
Tebing Barat yang bakal dimusnahkan tentera Israel/AFP)

BAITULMAQDIS, 15 Ogos- Seorang lagi pemuda Palestin terbunuh dalam pencerobohan terbaharu di timur Baitulmaqdis.

Pihak keselamatan Israel memaklumkan lelaki Palestin itu terbunuh kerana cuba menikam seorang anggota ketika serbuah di sebuah kediaman awal pagi hari ini.

“Suspek yang cuba menikam anggota kami telah dineutralkan,” kata polis kepada agensi berita Palestin, WAFA yang melaporkan lelaki tersebut bernama Mohammed al-Shaham, 21, mati di hospital tentera Israel.

Polis rejim di sempadan Baitulmaqdis telah melancarkan serbuan di kediaman penduduk Palestin di perkampungan Kafr Aqab atas alasan untuk mengesan senjata; kawasan penduduk yang dianggap Israel termasuk dalam wilayah yang dirampas mereka.

Bapa kepada mangsa, Ibrahim al-Shaham berkata “polis sempadan telah menembak anaknya di kepala dari jarak dekat, lapor WAFA.

Waris itu mendakwa pegawai berkenaan telah “meninggalkan anaknya dalam keadaan berdarah di atas tanah kira-kira 40 minit dan selepas itu mengumumkan kematian anaknya,” tambah laporan itu.

Polis tidak menyatakan sama ada mereka menemui sebarang senjata di rumah tersebut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin baharu, Hussein al-Sheikh, berkata telah “berlaku perlakuan jenayah” ... dan menggesa siasatan antarabangsa dengan kadar segera.”

Ahad lepas, lapan anggota tentera Israel dan seorang warga Amerika Syarikat cedera selepas lelaki Palestin melepaskan tembakan ke arah sebuah bas berhampiran Old City, Baitulmaqdis. -AFP


(Tentera Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin yang membantah
pencerobohan Israel di Nablus, Tebing Barat pada 12 Ogos 2022/fail AFP)

 

 

Media Baharu