fb fb fb fb fb

Genap setahun Taliban berkuasa, keamanan belum stabil?

(Gambar pada 10 Ogos 2021 menunjukkan penduduk memanjat
pesawat kerana mahu meninggalkan negara/Fail AFP)

KABUL, 15 Ogos- Hari ini genap setahun Taliban kembali berkuasa di Afghanistan. Cuti umum turut diisytiharkan di seluruh negara. Selama 12 bulan pemerintahan Taliban, situasi politik serta keselamatan dilaporkan media asing, masih belum stabil sepenuhnya.

Penguasaan Taliban kembali selepas kumpulan itu berjaya menawan semula Kabul daripada tentera kerajaan ketika itu, menamatkan campur tangan tentera asing di ketuai Amerika Syarikat (AS).

“Kami mematuhi kewajiban ke jalan jihad dan mahu membebaskan negara,” kata Niamatullah Hekmat, seorang anggota pasukan bersenjata Taliban yang masuk ke Kabul pada 15 Ogos tahun lalu beberapa jam selepas presiden ketika itu, Ashraf Ghani meninggalkan negara.

Pengunduran tentera asing secara tergesa-gesa berterusan sehingga 31 Ogos sekali gus mewujudkan suasana kucar-kacir dengan puluhan ribu penduduk ke lapangan terbang Kabul untuk meninggalkan Afghanistan.   

Gambar penduduk memenuhi kawasan lapangan terbang dan ada yang memanjat bumbung pesawat, berpaut pada pesawat kargo tentera AS yang berlepas sehingga jatuh tergolek di landasan -- disiarkan dalam berita di seluruh dunia.

Setakat ini, pihak berkuasa tidak mengumumkan sebarang acara atau program sambutan rasmi setahun pemerintahan Taliban, cuma stesen berita tempatan menyebut akan menyiarkan satu program khas.

Seorang anggota Taliban berkata dia gembira pergerakan (Taliban) kembali berkuasa.

Agensi bantuan kemanusiaan pula mengulas separuh daripada 38 juta penduduk kini berdepan isu kemiskinan yang serius.

“Ketika kami masuk ke Kabul, setelah AS (tentera asing) meninggalkan negara, ia adalah memori paling menggembirakan,” kata Hekmat anggota khas yang mengawal istana presiden.


(Gambar pada 9 Ogos 2022, lelaki Afghanistan sedang menonton televisyen di sebuah
restoran di Kabul, hampir setahun selepas Taliban kembali berkuasa/AFP)

--‘HIDUP TIADA ERTI’--

Bagaimanapun bagi sesetengah penduduk Afghanistan terutama kaum wanita – penguasaan semula Taliban hanya menambah kesukaran.

Pada awalnya, Taliban berjanji akan memperkenalkan undang-undang atau peraturan lebih mesra berbanding ketika mereka berkuasa pertama kali dari tahun 1996 sehingga 2001.

Namun ketika ini didakwa banyak sekatan telah dikenakan terhadap golongan wanita.

Puluhan ribu kanak-kanak perempuan tidak dapat ke sekolah menengah apabila Taliban dilaporkan menutup sekolah untuk mereka manakala kakitangan awam wanita dihalang daripada kembali bertugas.

Pada Mei, Taliban telah mewajibkan kaum wanita supaya menjaga aurat selain memaki burqa.

“Dari hari pertama mereka (Taliban) berkuasa, hidup sudah tiada lagi erti,” kata Ogai Amail, penduduk Kabul.

“Semuanya telah dirampas daripada kami, mereka telah mencampuri sehingga ke ruang peribadi,” katanya.

Berita berkaitan
Ulama Taliban antara dua orang mati dan tiga cedera, Daesh mengaku bunuh
Taliban wajibkan wanita Afghanistan tutup penuh bahagian tubuh
Aidilfitri, Taliban berjaya kekalkan kebebasan, pemimpin ucap tahniah
AS dan sekutu gesa Taliban buka semula sekolah untuk kanak-kanak perempuan
Malaysia mahu Taliban beri hak sama rata pendidikan kepada golongan wanita

Meskipun ada rakyat Afghanistan mengakui keganasan semakin berkurangan sejak Taliban kembali berkuasa, krisis kemanusiaan dilaporkan telah menyebabkan banyak penduduk amat memerlukan bantuan hidup.

"Orang ramai yang datang ke kedai kami merungut, harga barangan terlalu tinggi sehingga kami peniaga membenci diri sendiri," kata Noor Mohammad, peniaga dari Kandahar, pusat pentadbiran de facto Taliban.

"Kami mungkin miskin, kami mungkin menghadapi kesukaran, tetapi ‘bendera putih Islam’ kini berkibar tinggi selama-lamanya di Afghanistan", kata seorang anggota Taliban, pengawal taman awam di Kabul. –AFP

Media Baharu