fb fb fb fb fb

Lagi letupan gas restoran barbeku di China seorang terkorban

BEIJING, 17 Julai - Letupan gas di sebuah restoran di wilayah Jiangsu di timur China telah mengorbankan seorang mangsa manakala seorang lagi cedera.

Tangki gas itu meletup di sebuah restoran barbeku di bandar Yancheng.

Insiden gas meletup itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan selepas beberapa siri kemalangan yang sama turut berlaku pada bulan lalu.

Pihak berkuasa berkata, pemilik restoran telah ditahan polis dan siasatan sedang dijalankan.

Pada Jun, letupan gas di restoran barbeku mengorbankan 31 orang nyawa di barat laut wilayah Ningxia.

Letupan disyaki berpunca daripada kebocoran tangki gas petroleum cecair di Restoran Barbeku Fuyang, sekitar 8.40 malam waktu tempatan, di jalan yang padat pengunjung di Wilayah Xingqing, Yinchuan.

Tragedi berlaku pada permulaan cuti tiga hari sempena Pesta Bot Naga, ketika sebahagian besar penduduk China keluar berhibur bersama rakan mereka.

Dalam masa kurang seminggu, dua letupan di restoran lain turut dilaporkan termasuk di wilayah Gansu yang mencederakan dua orang mangsa.

Selepas letupan itu, kebimbangan dan kritikan mulai hebat diperkatakan di laman sesawang Weibo.

"Adakah kita tidak belajar dari apa yang telah berlaku," soal seorang pengguna.

Kemalangan akibat letupan gas dan bahan kimia bukan perkara luar biasa di China walaupun bertahun-tahun usaha telah dilakukan untuk meningkatkan keselamatan.

"Mereka yang menjalankan restoran barbeku perlu menjalani pemeriksaan terhadap penggunaan tong gas," kata salah seorang pengguna di China. - REUTERS

ARTIKEL BERKAITAN:
31 maut, letupan gas restoran barbeku

Media Baharu