fb fb fb fb fb

Lagi insiden tayar pesawat Boeing tercabut

FOTO HIASAN

LOS ANGELES, 9 Julai- Sebuah pesawat Boeing yang berlepas dari Los Angeles kehilangan roda dalam kejadian yang berlaku pada Isnin.

Ia merupakan insiden terbaru dalam rentetan kebimbangan terhadap tahap keselamatan bagi gergasi aeroangkasa itu.

United Airlines, yang mengendalikan Boeing 757-200, berkata pesawat itu kehilangan tayar selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

Bagaimanapun pesawat berkenaan selamat mendarat di Denver.

"Roda pesawat telah diganti di Los Angeles, dan kami sedang menyiasat apa yang menyebabkan kejadian ini," kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan.

Tiada kecederaan dilaporkan dari darat atau 174 penumpang dan tujuh anak kapal di dalamnya.

Ia merupakan kejadian kali kedua dalam beberapa bulan kebelakangan ini pesawat Boeing yang dikendalikan oleh United Airlines kehilangan roda selepas berlepas.

Pada bulan Mac, sebuah pesawat Boeing 777 yang menuju ke Jepun mengalami insiden tayar jatuh sejurus selepas berlepas dari San Francisco. Pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan.

Boeing bersetuju pada Isnin untuk mengaku bersalah dalam melakukan penipuan dalam penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman AS berhubung dua kemalangan maut 737 MAX.

Boeing telah menghadapi pemeriksaan semula terhadap 737 MAX tahun ini selepas palam pintu fiuslaj terputus pada model yang sama semasa penerbangan Alaska Airlines pada Januari.

Jurucakap Boeing berkata pesawat 757-200 yang berlepas pada Isnin dihantar 30 tahun lalu pada 1994.

Pengeluaran model 757 telah dihentikan pada tahun 2004.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sedang menyiasat insiden tersebut.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE