fb fb fb fb fb

Ketua Polis baharu Haiti ikrar tentang kumpulan jenayah habis-habisan

Foto REUTERS

PORT-AU-PRINCE, 9 Julai-Ketua Polis Haiti yang baru dilantik, Rameau Normil berikrar menentang secara habis-habisan terhadap kumpulan jenayah bersenjata yang melakukan pemberontakan di negara berkenaan.

Ikrar berkenaan dibuat di samping ketua Kontijen Kenya diarahkan bagi membantu pasukan keselamatan Haiti.

"Suatu hari nanti, rakyat akan bangkit melihat kesemua para penjenayah ini telah dibanteras oleh pihak polis", kata Normil pada sidang media yang merupakan kemunculan pertamanya di khalayak umum sejak mengambil alih jawatan pada 21 Jun lepas.

Mormil disertai oleh Godfrey Otunge, komander kontinjen Kenya yang merupakan kakitangan pertama setakat ini ditempatkan pasukan keselamatan multinasional yang diluluskan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Atas sebab-sebab keselamatan dan strategik, kami tidak akan terangkan bagaimana kami akan meneruskan operasi", kata Normil.

Selama bertahun-tahun Haiti berada di bawah cengkaman kumpulan jenayah yang kini menguasai 80 peratus ibu kota Port-au-Prince dan juga jalan-jalan utama di negara Caribbean yang miskin itu.

Keadaan menjadi lebih teruk pada akhir Februari, apabila kumpulan bersenjata melancarkan serangan di Port-au-Prince dan mengatakan mereka mahu menggulingkan Perdana Menteri ketika itu, Ariel Henry.

Henry akhirnya bersetuju untuk berundur dan menyerahkan kuasa eksekutif kepada majlis peralihan, yang menamakan Perdana Menteri dan kerajaan sementara.

Majlis Keselamatan PBB meluluskan penubuhan pasukan keselamatan multinasional yang diketuai Kenya tahun lalu, tetapi menghadapi kelewatan kerana cabaran mahkamah di Nairobi, dan kemelut politik akibat peletakan jawatan Henry.

Kira-kira 200 kontinjen pertama pasukan keselamatan multinasional berkenaan kemudianya tiba pada 25 Jun lalu.

Kedua-dua pasukan keselamatan sedang berunding dan berbincang tentang cara dan strategi dalam menangani kumpulan berkenaan.

Sementara itu, Godfrey Otunge, komander kontinjen Kenya berkata dia sangat optimis dengan tugasan yang menanti pasukannya.

"Kami mempunyai tugas yang kami telah komited untuk lakukannya dan kami mesti melakukannya dengan sebaik mungkin," katanya.

"Tugasnya adalah untuk memastikan pemulihan keamanan di seluruh Haiti," kata Otunge, sambil menambah mereka "berhasrat untuk mencapai perkara tersebut melalui bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Haiti, dan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa yang komited kepada Haiti baharu."

Otunge turut enggan mengulas berhubung kehadiran kontinjen pasukan Kenya seterusnya di Haiti.

Menurut wartawan AFP, pesawat pengangkut tentera yang membawa kenderaan berperisai tiba hujung minggu ini di Port-au-Prince.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD