BERLIN, 29 April- Petani di Jerman yang terjejas akibat wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) baru-baru ini layak menerima bantuan kewangan daripada Kesatuan Eropah (EU), menurut Kementerian Pertanian Jerman pada Selasa.
Jerman mencatatkan wabak FMD pertama dalam tempoh lebih 35 tahun apabila penyakit itu dikesan dalam kawanan kerbau di negeri Brandenburg, berhampiran Berlin, pada Januari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Suruhanjaya Eropah kemudiannya mengarahkan zon pengecualian sejauh enam kilometer di sekitar lokasi wabak, sekali gus mengehadkan penghantaran haiwan dari kawasan itu, manakala beberapa negara mengumumkan larangan import produk pertanian dari Jerman.
Namun begitu, semua ujian FMD terhadap haiwan ternakan dan liar di kawasan terjejas didapati negatif, membolehkan semua sekatan perdagangan ditarik balik. Pada 15 April, Jerman secara rasmi diisytiharkan bebas daripada penyakit itu.
Bagi membantu mereka menghadapi kesan wabak, semua penternak lembu tenusu dan babi dalam zon pengecualian, layak menerima bantuan EU, menurut kementerian.
“Petani yang terjejas kini boleh menarik nafas lega,” kata Pemangku Menteri Pertanian, Cem Ozdemir sambil berkata pembayaran itu “penting bagi memastikan mereka dapat meneruskan operasi.”
Ozdemir berkata matlamatnya sejak awal ialah memastikan tiada petani terpaksa gulung tikar akibat wabak itu.
Kerajaan negeri Brandenburg menganggarkan kerugian akibat wabak itu mencecah €8 juta (US$9.1 juta), dengan petani terpaksa melupuskan sejumlah besar haiwan ternakan.
Suruhanjaya Eropah ketika ini sedang menyediakan garis panduan bagi menentukan jumlah bayaran yang akan disalurkan, menurut kementerian.- BERNAMA-dpa