fb fb fb fb fb

5 pejuang SDF terbunuh dalam serangan IS di timur Syria

FOTO HIASAN

QAMISHLI, 29 April- Pasukan yang diketuai oleh pejuang Kurdi pada Selasa memaklumkan lima anggotanya terbunuh dalam serangan oleh kumpulan IS di timur Syria, selain turut mengumumkan langkah keselamatan dipertingkatkan di kawasan terlibat.

“Lima pejuang kami gugur syahid dan beberapa lagi cedera ketika mematahkan dua serangan,” menurut kenyataan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang berpangkalan di timur wilayah Deir Ezzor.

SDF menyatakan serangan itu adalah sebahagian daripada siri serangan pengganas yang tersusun, sambil menambah bahawa pasukan mereka telah meningkatkan kawalan keselamatan dan menambah rondaan di seluruh kawasan.

SDF memainkan peranan penting dalam kempen anti-IS yang disokong Amerika Syarikat, yang menyaksikan kekalahan kumpulan pelampau itu di wilayah terakhir mereka di Syria pada tahun 2019.

Namun saki-baki militan IS masih aktif dan terus melancarkan serangan maut dari kawasan persembunyian di padang pasir Syria, terutamanya di kawasan terpencil.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan pengurangan serangan IS di kawasan yang dikuasai kerajaan pusat di Damsyik sejak kejatuhan Presiden Bashar al-Assad pada Disember lalu, susulan pemberontakan yang diketuai kumpulan Islamis.

Namun, kawasan timur laut Syria yang dikuasai SDF pula menyaksikan peningkatan serangan, menurut badan pemantau perang yang berpangkalan di Britain itu.

Golongan Kurdi telah menubuhkan autonomi de facto di timur laut Syria sejak awal konflik pada 2011, namun bulan lalu, Ketua SDF Mazloum Abdi telah menandatangani perjanjian bersama Presiden Interim Ahmed al-Sharaa untuk mengintegrasikan institusi Kurdi ke dalam struktur negara Syria.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE