fb fb fb fb fb

Atlet hoki ais terlepas dakwaan bunuh Adam Johnson

FOTO REUTERS

LONDON, 29 April- Pihak Pendakwaan Diraja UK (CPS) mengumumkan pada Selasa bahawa tiada sebarang pertuduhan jenayah akan dikenakan terhadap pemain hoki ais yang sebelum ini ditahan berkait kematian Adam Johnson dalam perlawanan pada 2023.

Insiden menyayat hati itu menyaksikan Adam Johnson, 29, pemain kelahiran Amerika Syarikat yang bermain untuk Nottingham Panthers dalam Liga Hoki Ais Elit Britain, maut akibat kecederaan di leher selepas terkena bilah kasut lawan dalam perlawanan menentang Sheffield Steelers.

Pada November 2023, polis Britain menahan seorang lelaki atas dakwaan membunuh tanpa niat, namun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Bagaimanapun, hari ini pihak CPS memutuskan tiada pendakwaan akan dibuat terhadap pemain berkenaan.

“Crown Prosecution Service telah memutuskan untuk tidak membawa sebarang pertuduhan jenayah terhadap seorang pemain hoki ais profesional susulan kematian Adam Johnson,” kata kenyataan itu.

Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Michael Quinn, berkata: “Ini adalah satu insiden yang mengejutkan dan sangat menyedihkan.”

“Selepas siasatan menyeluruh oleh polis serta semakan komprehensif terhadap semua bukti oleh CPS, kami mendapati tiada prospek realistik untuk sabitan jenayah, dan oleh itu tiada pendakwaan akan diteruskan,” jelasnya.

Kematian tragik bekas pemain Pittsburgh Penguins itu mencetuskan perubahan besar dalam peraturan antarabangsa. Badan induk sukan itu, Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF), memutuskan untuk mewajibkan pemakaian pelindung leher dalam semua kejohanan utama termasuk Sukan Olimpik serta Kejohanan Dunia Hoki Ais Lelaki dan Wanita.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE