BEIJING, 29 April- Seramai 22 orang maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kebakaran dahsyat yang memusnahkan sebuah restoran di timur laut China pada waktu tengah hari Selasa, menurut laporan media rasmi Beijing.
Kebakaran tersebut berlaku di sebuah restoran dua tingkat di Bandar Liaoyang, kira-kira 580 kilometer dari ibu negara China, menurut penyiar negara CCTV.
“Insiden ini telah mengakibatkan 22 kematian dan tiga kecederaan,” kata laporan tersebut, sambil menunjukkan visual api marak yang memusnahkan seluruh bangunan.
Presiden Xi Jinping menyifatkan tragedi itu sebagai satu kejadian yang membawa "kehilangan nyawa yang besar" dan menegaskan bahawa pengajaran daripadanya adalah "amat berat".
Beliau mengarahkan agar "segala usaha ditumpukan untuk merawat mangsa yang cedera, mengurus dengan baik keluarga mangsa yang terkorban, menyiasat punca kebakaran dengan segera serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang," menurut CCTV.
Rakaman yang dikongsikan di media sosial dan disahkan oleh AFP menunjukkan api besar sedang menjilat restoran berkenaan dengan kepulan asap tebal membumbung ke udara.
Video lain di platform Douyin, versi TikTok di China, memperlihatkan pasukan perubatan membawa mangsa menaiki pengusung ke ambulans dan anggota bomba sedang memadamkan api dengan hos air.
Terdapat juga rakaman dari udara yang menunjukkan lebih sedozen jentera bomba berkumpul di luar restoran terbabit.
Seorang wanita yang bekerja di restoran berhampiran berkata beliau tidak menyedari langsung kejadian itu sehingga membaca laporan berita di telefon.
“Kami terus bekerja macam biasa, tak tahu apa-apa pun,” katanya ketika dihubungi AFP.
Wanita itu, yang enggan dikenali, berkata dia masih tidak tahu punca kebakaran tersebut, namun mengesahkan bunyi siren dan kehadiran polis masih kelihatan di kawasan sekitar.
“Ia memang sangat tragik,” katanya ringkas.
Insiden kebakaran maut bukanlah perkara luar biasa di China, berikutan isu penguatkuasaan undang-undang bangunan yang lemah dan tahap keselamatan tempat kerja yang sering dipandang remeh.
Bulan ini, 20 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah rumah penjagaan warga emas di wilayah Hebei, manakala pada Januari lalu, lapan maut dan 15 cedera dalam kebakaran di pasar sayur di bandar Zhangjiakou.
Sebulan sebelum itu, sembilan orang maut dalam kebakaran di tapak pembinaan di Rongcheng, timur China.-AFP