fb fb fb fb fb

15 maut akibat serangan militan ketika upacara berkabung

FOTO HIASAN

KANO, 29 April- Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh selepas sekumpulan militan yang dikaitkan dengan kumpulan IS melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penduduk yang menghadiri upacara perkabungan di sebuah perkampungan di negeri Borno, timur laut Nigeria.

Menurut seorang ketua komuniti dan beberapa penduduk tempatan, insiden berdarah itu berlaku pada petang Isnin di perkampungan Kwaple, berhampiran pekan Chibok, kawasan yang sebelum ini pernah menjadi tumpuan dunia susulan penculikan besar-besaran pelajar perempuan oleh kumpulan Boko Haram.

Kumpulan militan yang dikenali sebagai ISWAP itu dilaporkan menyerbu perkampungan berkenaan sekitar pukul 5 petang menaiki beberapa motosikal sebelum melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk yang sedang berkabung atas kematian seorang tokoh masyarakat.

“Sehingga pagi ini, kami telah menjumpai 15 mayat di dalam kampung dan juga di kawasan semak sekitarnya,” kata Ayuba Alamson, ketua komuniti dari Chibok yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau turut memaklumkan bahawa penyerang mengejar penduduk yang melarikan diri ke dalam hutan sambil terus melepaskan tembakan dari atas motosikal.

Serangan tersebut merupakan antara siri keganasan terbaharu di rantau itu, yang menyaksikan peningkatan mendadak dalam serangan oleh kumpulan pelampau sejak beberapa minggu lalu. Minggu lalu sahaja, lebih 50 orang dilaporkan terkorban dalam beberapa serangan berasingan.

Kawasan timur laut Nigeria kekal sebagai medan utama konflik antara kumpulan militan dan pasukan keselamatan, dengan ribuan nyawa terkorban dan jutaan lagi terpaksa meninggalkan kediaman sejak konflik bermula lebih sedekad lalu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE