WASHINGTON, 29 April- Keyakinan pengguna di Amerika Syarikat jatuh ke paras terendah sejak bermulanya pandemik COVID-19, menurut data tinjauan yang diterbitkan pada Selasa, susulan kebimbangan terhadap rancangan tarif Presiden Donald Trump.
Indeks keyakinan pengguna AS oleh Conference Board merosot sebanyak 7.9 mata kepada 86.0 pada April tahap terendah sejak Mei 2020, menurut jurucakap organisasi itu kepada AFP.
“Keyakinan pengguna menurun untuk bulan kelima berturut-turut pada April,” kata ahli ekonomi kanan Conference Board, Stephanie Guichard.
Beliau menambah, ketiga-tiga komponen jangkaan, keadaan perniagaan, prospek pekerjaan, dan pendapatan masa depan merosot secara ketara, mencerminkan pesimisme yang meluas dalam kalangan pengguna.
Pelan tarif baharu Trump telah mencetuskan kebimbangan pelabur, meningkatkan turun naik pasaran dan menjejaskan sentimen pengguna.
Guichard turut mendedahkan bahawa 48.5 peratus responden menjangka harga saham akan jatuh dalam tempoh 12 bulan akan datang peratusan tertinggi sejak Oktober 2011.
Tinjauan juga menunjukkan jangkaan inflasi bagi tempoh 12 bulan meningkat kepada 7 peratus, tertinggi sejak November 2022, ketika AS sedang bergelut dengan kadar inflasi yang tinggi.
Jika trend ini berterusan, ia boleh mencetuskan kitaran kenaikan harga, apabila perniagaan menaikkan harga lebih awal kerana menjangka kos akan terus meningkat.- AFP