fb fb fb fb fb

Kumpulan hak asasi manusia Tunisia gesa bantuan dan tempat tinggal untuk pendatang

(FOTO AFP)

TUNIS, 15 Julai - Kumpulan hak asasi manusia Tunisia pada Jumaat meminta bantuan kecemasan dan tempat perlindungan bagi pendatang yang diusir dari Sfax minggu lalu, ketika puluhan yang lain melakukan bantahan bagi membela nasib mereka.

Beratus-ratus pendatang melarikan diri selepas diusir keluar dari bandar kedua terbesar di Tunisia itu selepas ketegangan kaum memuncak berikutan pembunuhan seorang lelaki Tunisia pada 3 Julai lalu dalam pertengkaran antara penduduk tempatan.

Romdane Ben Amor, jurucakap Forum Tunisia untuk Hak Ekonomi dan Sosial (FTDES), memberitahu pemberita pada Jumaat bahawa terdapat antara 100 dan 150 pendatang, termasuk wanita dan kanak-kanak, masih terperangkap di sempadan.

Beliau berkata kira-kira 165 pendatang yang terbiar berhampiran sempadan dengan Algeria telah diambil, tanpa menyatakan oleh siapa atau ke mana mereka dibawa.

(FOTO AFP)

"Mereka dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain manakala kumpulan lain bersembunyi di dalam hutan kerana takut dikesan dan mengalami nasib yang sama seperti mereka yang terkandas di sempadan," kata Ben Amor.

Ben Amor turut merayu agar penginapan kecemasan diberikan kepada pendatang dan berkata pihak berkuasa perlu menghantar "mesej yang jelas" kepada warga Tunisia untuk membantu mereka, tanpa mengira status mereka.

Kira-kira 100 penunjuk perasaan berdemonstrasi pada petang Jumaat diĀ TunisĀ atas seruan pakatan anti-fasis serta menyatakan "solidariti mereka dengan pendatang tanpa izin".

Tunisia menyaksikan peningkatan dalam serangan bermotifkan perkauman selepas Presiden Kais Saied pada Februari menuduh "gerombolan" pendatang dari negara-negara Afrika sub-Sahara membawa keganasan, mendakwa "komplot jenayah" untuk mengubah susunan demografi negara.-AFP

Media Baharu