(FOTO FAIL/ AFP)
GENEVA, 15 Julai- Seramai 289 kanak-kanak maut dalam tempoh enam bulan tahun ini ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean ke Eropah, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut agensi kanak-kanak PBB (UNICEF), angka itu dua kali ganda daripada dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus menggesa laluan selamat, sah dan boleh diakses yang diperluaskan untuk golongan itu mendapatkan perlindungan di Eropah.
Peneraju global UNICEF mengenai penghijrahan dan perpindahan, Verena Knaus, berkata angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana banyak kapal karam di Mediterranean tengah tidak meninggalkan mangsa yang terselamat atau tidak direkodkan.
"Jumlah kanak-kanak yang kehilangan nyawa ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean untuk sampai ke Eropah meningkat dua kali ganda pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Kematian ini sememangnya boleh dicegah," katanya.
Knaus berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dianggarkan 11,600 kanak-kanak membuat lintasan, hampir dua kali ganda lebih ramai berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dalam suku pertama tahun ini, kira-kira 3,300 kanak-kanak atau 71 peratus daripada kanak-kanak yang tiba di Eropah melalui laluan tengah Mediterranean - direkodkan sebagai tidak ditemani atau dipisahkan.
Angka itu tiga kali lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
(Foto fail: Anggota Pengawal Tunisia memegang kanak-kanak yang diselamatkan daripada bot yang membawa
migran Afrika sub-Sahara, kira-kira 50 batu nautika di laut Mediterranean di luar pantai bandar Sfax tengah Tunisia/ AFP)
Knaus berkata ramai di Eropah, termasuk orang yang akan berlepas ke pantai Mediterranean untuk cuti musim panas mereka, seolah-olah tidak menyedari tragedi harian yang berlaku di perairan sama.
"Ini adalah realiti sebenar yang mengejutkan, tetapi kami nampaknya agak selesa dengan hakikat bahawa hari demi hari, kanak-kanak kehilangan nyawa mereka.
Kanak-kanak ini mati, bukan sahaja di depan mata tetapi, nampaknya, dengan mata tertutup," katanya.
Knaus berkata bahawa ramai kanak-kanak membuat perjalanan tanpa ditemani selama beberapa bulan untuk sampai ke pantai Libya atau Tunisia di utara Afrika, dari negara seperti Guinea, Senegal, Gambia, Syria dan juga Afghanistan.
Sepanjang perjalanan, mereka boleh terdedah kepada penahanan, kekurangan, penyeksaan, pemerdagangan, keganasan, eksploitasi dan rogol, dengan kanak-kanak perempuan sangat terdedah.
Perjalanan bot dari Libya atau Tunisia ke Eropah biasanya menelan kos sekitar AS$7,000 (RM31,680) kata UNICEF.
"Kanak-kanak ini perlu tahu mereka tidak bersendirian. Pemimpin dunia mesti bertindak segera untuk menunjukkan nilai yang tidak dapat dinafikan dalam kehidupan kanak-kanak, bergerak melangkaui ucapan takziah kepada usaha mencari penyelesaian yang berkesan," kata Knaus. - AFP