fb fb fb fb fb

Anggota bomba muda korban pertama kebakaran di Kanada

(Sebuah helikopter milik British Columbia Wildfire Service dalam usaha memadam
kebakaran hutan di British Columbia, AFP)

OTTAWA, 15 Julai- Seorang anggota bomba maut selepas terperangkap di bawah sebatang pokok tumbang ketika usaha memadam kebakaran yang melanda barat Kanada selama berminggu-minggu.

Kematian wanita berusia 19 tahun itu merupakan korban pertama dilaporkan pada permulaan musim kebakaran sejak Mei lalu.

Polis persekutuan dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku pada Khamis lalu ketika mangsa sedang membersihkan semak di kawasan terpencil di bandar Revelstoke di British Columbia.

"Dia (mangsa) telah dihantar ke hospital dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Perdana Menteri, Justin Trudeau menyifatkan insiden itu sebagai menyayat hati serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota bomba atas keberanian mereka berdepan situasi sukar.

"Kita tidak boleh melupakan risiko yang diambil oleh wira ini setiap kali mereka berlari ke arah bahaya," katanya menerusi Twitter.

Jurucakap Jabatan Bomba British Columbia, Cliff Chapman berkata, pihaknya telah meminta kira-kira 1,000 anggota bomba antarabangsa untuk bantuan tambahan.

"Ia sangat, sangat mencabar di seluruh Kanada.

"Ini adalah pekerjaan yang sangat berbahaya. Dengan keadaan yang kami ada, ia menjadikannya lebih berbahaya bagi anggota kami yang bekerja sehingga 14, 16, 20 jam sehari," katanya.

Kira-kira 24 juta ekar hutan sudah terbakar, mencatatkan peningkatan sebanyak 11 kali ganda berbanding purata pada dekad lalu, sekali gus mengatasi rekod tahunan pada 1989.

Asap daripada kebakaran itu telah mencemar udara di Kanada dan negara jiran Amerika Syarikat, sekali gus menjejaskan lebih 100 juta orang dengan turut mengganggu penerbangan dan memaksa pembatalan acara di kawasan terbuka. -AFP

(Kebakaran hutan Peacock Creek berhampiran Houston di British Columbia, Kanada/AFP)

Media Baharu