NEW DELHI, 16 Februari- Sekurang-kurangnya 15 orang maut dalam insiden rempuhan di sebuah stesen kereta api di sini lewat Sabtu ketika orang ramai berebut menaiki tren ke perhimpunan keagamaan Kumbh Mela di Prayagraj di utara India.
Insiden itu berlaku kurang sebulan selepas rempuhan di lokasi pertemuan tiga sungai dianggap suci -- Ganges, Yamuna dan Saraswati di Prayagraj -- yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang.
Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Lok Nayak Dr Ritu Saxena mengesahkan jumlah kematian dan memaklumkan kebanyakan mangsa dipercayai maut akibat hipoksia atau kecederaan tumpul.
Sebelas individu lain mengalami kecederaan termasuk patah tulang dan lebam akibat tekanan dalam kesesakan, namun mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.
Perdana Menteri Narendra Modi dalam kenyataan di platform X menyatakan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Ibu Negara Delhi Vinai Kumar Saxena memaklumkan pasukan pengurusan bencana telah dikerahkan, manakala semua hospital bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Menteri Kereta Api India Ashwini Vaishnaw pula berkata tren khas tambahan telah disediakan dari New Delhi bagi mengurangkan kesesakan orang ramai.
Kumbh Mela yang diadakan setiap 12 tahun merupakan perhimpunan keagamaan terbesar di dunia. Sejak bermula bulan lalu, kira-kira 500 juta penganut Hindu telah menghadirinya dan ia dijadual berakhir pada 26 Februari.
Acara tersebut mempunyai sejarah bencana akibat kesesakan termasuk insiden pada 1954 yang mengorbankan lebih 400 nyawa dan tragedi pada 2013 yang mengakibatkan 36 kematian. -AFP