fb fb fb fb fb

'Capybara' bertukar hijau akibat pencemaran sianobakteria

FOTO AFP

CONCORDIA, 16 Februari- 'Capybara' atau babi air di pesisir Sungai Uruguay, wilayah Entre Ríos, Argentina dilihat dilitupi lapisan hijau akibat pencemaran sianobakteria yang semakin membimbangkan.

Fenomena itu berlaku setiap tahun dengan intensiti meningkat disebabkan oleh perubahan iklim dan peningkatan nutrien dalam air mengakibatkan lapisan tebal sianobakteria di sepanjang empangan Salto Grande yang bersempadan dengan Uruguay.

Kawasan pesisir sungai kini dipenuhi bau busuk dengan ikan mati bertaburan, sementara 'capybara' yang terperangkap dalam persekitaran tercemar itu berselaput hijau.

Keadaan tersebut dikaitkan dengan pertumbuhan pesat sianobakteria yang boleh menjadi toksik dan menjejaskan kesihatan manusia serta ekosistem air.

"Organisma ini memainkan peranan ekologi yang penting, tetapi dalam kepekatan tinggi, ia boleh menjadi berbahaya," kata Dr. Diego Frau, pakar Biologi dari Institut Limnologi Kebangsaan (INALI).

Menurutnya, suhu tinggi dan lebihan nutrien dalam air menjadi faktor utama pencemaran yang semakin kerap berlaku akibat kesan perubahan iklim serta aktiviti pertanian dan penternakan yang mencemarkan sumber air.

Dalam jangka pendek, pendedahan kepada sianobakteria boleh menyebabkan masalah kulit dan simptom seperti selesema, termasuk cirit-birit, muntah dan sakit kepala, kata Dr. Martín Novoa dari Universiti Nasional Entre Ríos.

Pendedahan berpanjangan pula boleh membawa kepada gangguan hati dan sistem saraf.

Sekurang-kurangnya 15 majlis perbandaran di wilayah Buenos Aires telah mengeluarkan amaran kesihatan berhubung fenomena berkenaan.

Terdahulu, penduduk di sebuah bandar berhampiran Buenos Aires dikejutkan dengan kejadian anak sungai bertukar merah seperti darah dan berbau busuk dipercayai akibat sisa buangan industri tekstil dan penyamakkan kulit haiwan.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut. -AFP

1602 BD CAPYBARA HIJAU 2
'Capybara' atau babi air diselaputi lendir hijau akibat pencemaran sianobakteria di perairan Tasik Salto Grande, tasik buatan yang terbentuk daripada empangan hidroelektrik di Sungai Uruguay, berhampiran Concordia, Entre Ríos, Argentina/AFP

SITI AISHAH MD ISA